Monday, July 26, 2010

Mengimarahkan Sya'aban Pada Nisfunya?

(Biro IT)

(Artikel ini telah dikeluarkan pada 10/8/2008 dalam blog ini hasil tulisan Cucu Tok Adam)

"Jangan lupa malam ni tu... bawa kuih sekali deh!" Rahmat mengingatkan kawannya.
"Ada apa malam ni?" Zuki bertanya kerana memang dia terlupa.
"Laa... malam ni kan nisfu Sya'ban. Lepas Maghrib kek gi ada baca Yaasin." Jelas Rahmat lagi dengan loghat kedaerahannya. Zuki mengangguk-angguk kecil sambil berlalu.

Rahmat adalah seorang buruh yang bekerja sebagai tukang rumah. Dia seorang 'kaki masjid'. Meskipun kerjanya menyebabkan pakaiannya berlumuran debu dan peluh, dia jarang meninggalkan sembahyang berjamaah. Dia akan membawa pakaian 'spare'untuk sembahyang. Manakala Zuki seorang ahli perniagaan yang berjaya. Dia selalu berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Berbeza dengan Rahmat, dia jarang pergi ke masjid. Pada waktu malam, dia hanya akan berehat di rumah. Menghilangkan penat menguruskan perniagaannya.

Zuki dan Rahmat adalah kawan baik dari bengku sekolah lagi. Meskipun dari segi taraf hidup yang berbeza sekarang, tapi persahabatan mereka tetap utuh.

Sebagai sebahagian masyarakat kampung yang akan meraikan nisfu Sya'aban, malam itu sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia, mereka akan membaca Yaasin selepas sembahyang Maghrib sebanyak 3 kali. Yaasin yang pertama adalah untuk memohon keampunan, Yaasin kedua untuk murah rezeki dan Yaasin yang ketiga adalah untuk panjang umur.

Di sini, saya ingin mengajak sahabat/iat berbincang tentang amalan nisfu Sya'aban ini. Persoalan pertama ialah kenapa perlu membaca Yaasin tiga kali? Kenapa tidak hanya sekali sahaja dan memohon kepada Allah untuk keampunan, murah rezeki dan panjang umur? Persoalan kedua ialah kenapa membaca Yaasin? Kenapa tidak surah-surah lain? Persoalan ketiga ialah bagaimana jika berdoa sahaja tanpa membaca Yaasin? Persoalan keempat ialah apakah penetapan amalan ini mengikut sunnah Rasulullah SAW?

Hari Rabu lepas, saya telah menghadiri satu kuliah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Kamaruzaman Abdullah, ulama' muda lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir yang selalu menggantikan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang di Rusila, telah menyampaikan kuliah tentang nisfu Sya'aban. Antara perkara yang disentuh ialah tentang kelebihan bulan Sya'aban yang dinyatakan dalam hadis daripada Usamah bin Zaid katanya:
"Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa." (HR Al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan oleh Khuzaimah)

Menurut Ust. Kamaruzaman, inilah satu-satunya hadis sahih yang boleh dijadikan pegangan tentang kelebihan bulan Sya'aban. Tiada sebarang penetapan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat kita dalam mengisi Sya'aban bagi mendapat kelebihannya. Dalam menyentuh banyaknya baginda berpuasa, beliau menyebut bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa Sya'aban melebihi 16 hari. Meskipun terdapat hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah pernah berpuasa penuh, namun yang jelas Aisyah r.ha. menerangkan bahawa "Baginda SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain Ramadan." (HR Al-Nasaai)

Seterusnya beliau mengingatkan tentang bahaya bid'ah dalam masyarakat Melayu terutama dalam hal nisfu Sya'aban. Beliau banyak mengkaji dan meneliti hadis-hadis tentang bulan Sya'aban, malangnya tidak ada hadis yang menetapkan supaya membaca Yaasin tiga kali pada malam nisfu Sya'aban ini. Malah sekiranya seseorang itu tidak pernah datang ke masjid dan surau pada malam-malam lain, tetapi datang untuk membaca Yaasin agar dapat keampunan, panjang umur dan murah rezeki dengan i'tiqad itulah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW boleh membawa kepada syirik. Kenapa? Kerana ia menyamai agama Kristian, Budha Hindu dan lain-lain di mana mereka mengi'tiqadkan bahawa Tuhan ada pada ketika-ketika tertentu dan pada masa-masa tertentu sahaja.

Sebagaimana amalan yang sahih daripada Rasulullah SAW dalam bulan Sya'aban ialah berpuasa sebagaimana hadis di atas. Oleh itu, marilah kita memperbanyakan melakukan amalan sebagaimana amalan Rasulullah SAW, iaitu berpuasa dan menggandakan amalan lain yang telah sayugia kita amalkan selama ini kerana bab ibadat ini tidak seperti amalan lain. Ia mestilah mempunyai nas. Ia tidak boleh direkacipta sesuka hati kerana rekaan dalam hal ibadat seolah-olah menyatakan bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu tidak lengkap dan sempurna. Sebagaimana dinyatakan oleh Asy-Syaukaniy:
"Maka, sungguh apabila Allah SWT telah menyempurnakan agama-Nya sebelum mematikan Nabi-Nya Muhammad SAW, bagaimana dengan pendapat orang yang mengada-adakan setelah Allah SWT menyempurnakan agama-Nya?! Seandainya sesuatu yang mereka ada-adakan termasuk dalam urusan agama menurut keyakinan mereka, bererti belum sempurna agama ini kecuali dengan pendapat mereka, ini bererti mereka telah menolak Al-Qur`an. Dan jika apa yang mereka ada-adakan bukan termasuk dari urusan agama, maka apa faedahnya menyibukkan diri dengan sesuatu yang bukan dari urusan agama??

No comments: