Tuesday, June 15, 2010

Hangatkan Kedinginan Tarbiyah

(Biro IT)

UCAPAN SULUNG PRESIDEN PAPISMA 2010-2012 (KONVENSYEN KEBANGSAAN PAPISMA & AGM PAPISMA DI PANTAI MERDEKA, KEDAH 22 J'Akhir 1431H) -Di catat di dalam Kolum Presiden pada 1 Rejab 1431 H.

Bismillahirrahmanir rahim

Assalamualaikum Wbt

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh cakerawala. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad, petunjuk dan rahmat bagi seluruh alam, juga buat ahli keluarga baginda, para sahabat dan para pengikut baginda di atas jalan yang lurus sehingga ke akhir zaman.

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Tetap, Tuan Haji Che Abd Rahim b. Che Daud, Mantan Presiden Papisma Dr Suhazeli Abdullah, Para AJK Papisma sesi yang lepas, Barisan AJK Papisma sesi 2010-2012 yang baru sahaja dilantik, AJK Konvensyen Papisma 2010, Pembantu Tadbir Papisma dan seterusnya seluruh ahli dan pendokong Papisma dari seluruh Malaysia.

Sebelum meneruskan ucapan sulung ini marilah kita semua membaca dan menghadiahkan ummul Quran alFatihah kepada para syuhada’ yang telah gugur di atas kapal Mavi Marmara di dalam Flotilla bantuan ke Ghazzah akibat angkara Zionis yang durjana. –Al FATIHAH-

Kita berdoa dan berharap agar pada masa akan datang akan ada pula dikalangan ahli-ahli Papisma yang akan menjadi sukarelawan menghantar bantuan kepada penduduk Ghazzah yang dizalimi oleh Yahudi Zionis, insya allah.

Seterusnya saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada penganjur Konvensyen Kebangsaan Papisma yang ketujuh pada tahun 2010 ini kerana berjaya mengatasi berbagai halangan untuk menjayakan KKP pada tahun ini yang bertempat di Pantai Merdeka, Kedah Darul Aman. Sebuah lagi negeri yang diterajui oleh pencinta dan pendokong Islam.

Perjalanan yang jauh ke Pantai Merdeka ini dengan jalannya yang berliku-liku akhirnya terubat sebaik sahaja melihat pantainya yang putih, pemandangannya yang cantik hingga ke Tanjung Dawai dan sudah tentulah terutamanya keletihan itu terubat sebaik sahaja melihat wajah-wajah sahabat-sahabiah semua yang pebuh iman di dalam dada. Semoga istiqamahlah kita di jalan Allah.

Di kenal Kayu Kerana Daunnya, Terkenal Melayu Kerana Pantunnya.

Saya ambil kesempatan ini untuk membacakan serangkap pantun:

Pantai Merdeka jauh di Kuala, Tanjung Dawai banyak selangat; Di Resort Pantai Merdeka kita berjumpa, Konvensyen ini penguja semangat.

Proses pemilihan untuk kepimpinan yang baru telah pun selesai dijalankan, menggunakan proses berkomputer yang canggih dan mudah-mudahan pada masa depan dapat dikembangkan lagi kepada ahli-ahli yang tak dapat datang semasa konvensyen, supaya mereka juga turut sama dapat mengundi.

Hasilnya adalah kita telah melihat senarai nama-nama baru telah dipilih untuk menjadi pimpinan Papisma yang baru. Saya terharu dengan keputusan yang telah dibuat oleh ahli-ahli semua dan saya berdoa agar keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli semua adalah keputusan yang ikhlas untuk kebaikan Papisma di dalam mengharungi masa depan yang lebih mencabar.

Saya percaya mereka-mereka yang mengundi AJK-AJK Papisma yang baru ini bukanlah kerana hendak membiarkan kami terkapai-kapai mengendalikan hala tuju Papisma tetapi adalah kerana untuk sama-sama sanggup bersusah-payah memikul tanggungjawab ini.

Setelah tujuh tahun beroperasi, maka Papisma semakin membesar. Bilangan ahli meningkat 10 kali ganda daripada 54 orang menjadi 500 orang. Bila rumah tangga makin membesar, maka masalah makin banyak. Belanja dapur makin tinggi tetapi yang bantu memasak tidak ramai, yang bantu makan yang bertambah… Maka kadang-kadang kita demam, kadang-kadang mereka yang di dapur menjerit juga kerana marah dan keletihan. Bila letih kita cuba ubat diri kita dengan menelan panadol, tetapi panadol bukanlah ubat yang mujarab untuk segala penyakit.

Setelah tujuh tahun bergerak, Papisma makin berkembang, kita dahulunya hanyalah satu entiti kecil di Kelantan. Kemudian perlahan-lahan kita membesar, kita berkembang ke seluruh Malaysia dan kemudiannya perlahan-lahan lagi kita melebarkan sayap ke Indonesia, ke Jordan, ke Egypt, ke United Kingdom, ke Ukraine, ke Russia, ke Republik Czech dan lain-lain tempat yang menjadi tumpuan mahasiswa dalam jurusan sains perubatan & kesihatan. Bila kita membesar dan terus membesar, kadang-kadang kita jadi cair, kuantiti mengurangkan kualiti, kualiti tenggelam di sebalik timbunan kuantiti. Bahkan kadang-kadang kita hilang jati diri kerana kualiti yang semakin mencair.

Sahabat semua,

Tidak ada salahnya membesar, tetapi yang penting ialah kita mesti memfokuskan destinasi dan hala tuju kita. LEBARKAN SAYAP, tetapi kita mesti FOKUSKAN HALATUJU. Apakah hala tuju kita?

Hala tuju kita ialah Mardhatillah. .

Firman Allah di dalam surah Al Bayyinah ayat 7 hingga 8, maksudnya:

"7. Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. 8. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah Syurga A’dn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah balasan bagi orang yang takut kepada Tuhannya."

Firman Allah lagi di dalam surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30, maksudnya:

"27. Wahai jiwa yang tenang!. 28. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. 29. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku. 30. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku."

Saban hari pula kita berdoa, "Rabbana atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, waqina azabannar".

Bukankah keredaan Allah yang kita cari?

Namun mardhatillah itu sangat luas, maka kita selaku orang-orang yang Allah beri kelebihan melalui ilmu-ilmu kesihatan dan perubatan, kita kecilkan lah skop mardhatillah itu bersesuaian dengan kemahiran yang kita ada. Maka objektif kita di dalam Papisma ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengumpul dan mengajak manusia seramai yang mungkin agar bertaqwa kepada Allah. Dan kita menggunakan kemahiran ilmu bantu perubatan yang kita ada untuk menyeru manusia takutkan Allah, mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan-Nya

Kadang-kadang masih ada pertanyaan yang timbul, kenapa kita tubuhkan Papisma? Tidak memadaikah jika sekiranya kita terus terjun ke dalam jemaah yang besar dengan segala ilmu dan kemahiran yang kita ada? Maka kita beri jawapan yang ringkas, tujuan kita menubuhkan Papisma ini adalah supaya senjata-senjata MD, senjata-senjata MBBS, senjata-senjata BDS, B.Pharm, M.MED, MRCP, MRCOG, FANZCA dan sebagainya lagi yang berkaitan dapat kita kumpulkan dengan kemas dan seterusnya dimasukkan ke dalam jemaah Islam yang besar di dalam keadaan yang lebih tersusun dan teratur, bukan di dalam keadaan yang berselerak dan sukar dicari..

Kemudian timbul lagi pertanyaan, apakah yang perlu kita lakukan? Di dalam jangka masa terdekat ini kita perlu mengembalikan semula kualiti kita yang sedang cair dan saya percaya puncanya adalah kerana semakin dinginnya proses Tarbiyyah. Untuk itu kita perlu menghangatkan kembali kedinginan tarbiyyah dan saya telah mencadangkan bahawa motto Papisma pada tahun ini ialah HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH.

Selaku Presiden, saya berazam untuk menghidupkan usrah bulanan di kalangan AJK Papisma Pusat secara online dan insya allah kita akan cuba mengadakannya pada setiap bulan. Di harap ahli-ahli Papisma juga akan beramai-ramai menghidupkan kembali aktiviti usrah ini. Kemudiannya kemuncak kepada motto HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH ini adalah cadangan untuk mengadakan Konvensyen Papisma yang kelapan pada tahun hadapan di Terengganu yang akan dipenuhi dengan program-program Tarbiyyah melibatkan diri kita, pasangan kita dan juga anak-anak kita yang merupakan keluarga besar Papisma. Insya allah mantan Presiden sendiri akan menjadi tulang belakang utama untuk usaha ini. Mudah-mudahan proses tarbiyyah ini dapat membantu merungkai kecairan yang menimpa ahli-ahli kita selama ini.

Yang keduanya ialah Mendisiplinkan ahli-ahli Papisma. Di dalam usia kita tujuh tahun ini, maka wajarlah kita mula mendisiplinkan ahli-ahli kita. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Di dalam menganjurkan konvensyen Papisma ini saban tahun kita akan bertemu dengan sebahagian ahli yang memberi nama tetapi membatalkan penyertaan di saat akhir tanpa membayar satu sen wang pun. Keadaan ini menyebabkan Papisma terpaksa menggunakan dana awam Papisma untuk menggantikan deposit hangus yang diminta pihak hotel.

Sikap sebegini sudah tentu tidak baik, jikalau kita benar-benar sayangkan jemaah, maka apabila kita mendaftar nama, maka kita sertakan bayarannya sekali. Katakanlah pada saat akhir kita tidak dapat datang, maka insya allah pelaburan yang kita buat itu akan dinilai dengan nilaian yang tinggi di sisi Allah. Mudah-mudahan dibalas 70 kali atau 700 kali ganda. Jangan susahkan Persatuan, sebaliknya bantulah Persatuan. Untuk itu saya dengan sepenuh perasaan mencadangkan agar bermula tahun hadapan, pendaftaran Konvensyen Papisma ini hendaklah dilakukan dengan bayaran penuh sebelum nama seseorang itu didaftarkan. Jangan memeningkan kepala AJK konvensyen dengan kerenah kita yang liat mengeluarkan wang belanja.

Seterusnya kita perlu mengumpulkan ahli-ahli yang bermotivasi tinggi di dalam Papisma. Ini kerana ahli-ahli yang bermotivasi tinggi mampu untuk menarik lebih ramai ahli-ahli yang lain dan mampu pula menggandakan lagi keupayaan Papisma dimasa akan datang.

Akhir sekali, untuk sebuah kapal berjaya meredah lautan yang luas, ianya memerlukan kerjasama sepenuhnya di antara anak-anak kapal dan nakhodanya. Kita perlu kepada kesatuan yang kukuh, bahu-membahu, bertolong-bantu dengan ikhlas, arahan perlu diberi dengan ketaqwaan dan didengar dengan ketaqwaan. Hendaklah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dan hidup berpandukan alQuran dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Wabillahitaufiq, walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabar akatuh.

ALLAHU AKBAR.

"HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH"


Al Ghazali
Presiden Papisma
2010-2012

No comments: