Friday, September 18, 2009

Bersediakah Kita Ditinggalkan Ramadhan?

(Pengerusi PAPISMA Terengganu)

Samada sedar ataupun tidak, mahu ataupun sebaliknya, yang datang pasti kan pergi. Begitulah halnya dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan, penuh rahmat dan kasih sayang Allah dan penuh dengan tawaran untuk hari akhirat yang tidak terdapat pada umat rasul-rasul sebelum ini. Ramadhan yang datang sebagai tetamu manusia yang beriman ini kini tinggal berbaki 2 hari lagi. Bagaimana hebatnya kesedihan kerana ditinggalkan Ramadhan, sehingga menangis mengeluarkan airmata darah sekalipun, ia akan tetap pergi meninggalkan orang yang menyesal dan orang yang tidak ambil kisah dengan kelebihan Ramadhan.

Sedih? Apakah perginya Ramadhan diiringi dengan perasaan sedih? Atau apakah kita rasa lebih gembira ditinggalkan oleh Ramadhan? Atau kita rasa serupa sahaja samada Ramadhan itu hadir atau tidak?

Bagaimanakah agaknya sekiranya sebuah pasaraya yang selalu kita kunjungi kerana segala keperluan rumahtangga kita terdapat di dalamnya tiba-tiba menawarkan satu tawaran yang luar biasa. Kita bayar sebagaimana biasa tetapi pasaraya tersebut memberikan barangan keperluan kita itu sehingga 10 kali ganda? Dan tawaran seumpama itu akan berlanjutan selama sebulan... Kini tibalah saatnya pasaraya itu mahu menghentikan tawarannya. Hanya tinggal 2 hari lagi. Apakah agaknya yang kita lakukan? Agaknya kita tidak akan merasa penat untuk berusaha mendapatkan semaksima mungkin keuntungan daripada tawaran tersebut kerana kita tidak tahu bilakah lagi akan mendapat tawaran luar biasa seperti itu.

Nah! Begitulah halnya dengan Ramadhan. Allah telah menyediakan tawaran yang lebih dari luar biasa, di mana segala amalan kita akan digandakan. Bukan sepuluh, bukan seratus, bukan tujuh ratus... tetapi lebih dari itu, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam (SAW) yang bermaksud: "“Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya. Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah daripada bau minyak kasturi, dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana Aku (Allah SWT). Puasanya adalah untuk-Ku dan Aku memberi balasan setiap kebaikkan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa, kerana ia (puasa tersebut) adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberi balasannya.” (HR Malik no: 603).

Begitulah pemurahnya Allah. Kita tidak perlu membuat sesuatu yang selain dari apa yang biasa kita lakukan. Tetapi apabila tiba bulan Ramadhan, segala amalan itu menjadi berganda ganjarannya. Kita hanya diwajibkan berpuasa yang tidak sampai menyusahkan kita. Kita hanya dituntut untuk bersolat Terawih tanpa diwajibkan pula. Malah bukan itu saja tawarannya, pada 10 malam terakhir pula terdapat Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan! Kita mampu mendapatkan ganjaran tersebut hanya dengan sekurang-kurangnya solat Isya' dan Subuh secara berjemaah, apatah lagi kita bersolat Terawih. Subhanallah!

Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyebut tentang syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya:
"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, solat Subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail."

Di dalam hadis sahih diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat Subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat di sepanjang malam tersebut". (HR Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Kebanyakan ulama' berpendapat bahawa solat Isya' dan Subuh berjemaah telah memadai untuk termasuk ke dalam amalan Lailatul Qadar. Subhanallah... Maha Pemurahnya Allah dengan kurniaan Ramadhan kepada kita. Sayangnya Allah kepada kita. Tetapi bagaimana dengan kita? Apakah kita merasai kasih dan sayang Allah ini?

Kini, tawaran itu hampir berakhir. Apakah kita masih tidak merasai apa-apa? Jika kita masih mahu mendapatkan tawaran akan datang, ia hanya akan berlaku setahun lagi yang belum tentu kita masih berpeluang untuk memperolehinya. Oleh itu, biar ditahap mana kita berada, biar selalai mana kita, biar sesibuk mana kita, janganlah lepaskan memohon keampunan Allah pada saat-saat terakhir Ramadhan 1430H ini. Mudah-mudahan kita mendapat keampunan Allah kerana itulah prasyarat bagi mendapatkan syurga-Nya.

Pemergian Ramadhan akan diganti dengan 1 Syawal. 1 Syawal bererti hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri. Aidilfitri pastinya akan disambut gembira, namun sedarkah kita bahawa kegembiraan Aidilfitri adalah kerana kejayaan kita menempuh Ramadhan? Mudah-mudahan kita berjaya menempuh Ramadhan dan layak untuk menyambut Aidilfitri... 1 Syawal merupakan hari ibadat kepada umat Islam yang sama pentingnya dengan sebulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Bersungguh-sungguhlah kamu semua pada Hari Raya Aidilfitri dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus dari solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini Allah Taala mengampuni semua dosa kamu, mengabulkan semua doamu dan melihat kamu semua dengan kasih-sayang." (Durratul Wa'izhiina)

Nabi SAW bersabda lagi:
"Apabila tiba Hari Raya Aidilfitri, maka Allah mengirim para Malaikat. Maka para Malaikat sama-sama turun ke bumi di setiap daerah, lalu mereka berkata: "Hai umat Muhammad, keluarlah kamu semua kepada Tuhan Yang Maha Mulial" Maka ketika mereka telah tampak keluar ke tempat solat mereka, Allah berfirman: "Hai para Malaikat-Ku, saksikanlah oleh kamu semua, bahawa sesungguhnya telah-Ku jadikan pahala mereka atas puasanya itu, keredaan-Ku dan ampunan-Ku."

Tetapi kebanyakan kita terlalai dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri itu sehingga melakukan perkara yang ditegah oleh Allah. Perkara yang nampak ringan, tetapi mengundang kemurkaan Allah SWT sepert pembaziran, pergaulan bebas, menonton TV yang melalaikan, melengah-lengahkan mengerjakan solat dan sebagainya. Berjaya jugalah syaitan memperdaya kita di hari mulia 1 Syawal itu meskipun dia dan seluruh tenteranya telah dibelenggu selama sebulan pada bulan Ramadhan dari menggoda kita. Dari Wahab bin Munabbih, bahawa dia berkata: Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya Iblis yang dilaknat Allah itu berteriak pada setiap hari raya, maka para bala tenteranya berkumpul di sekitarnya sambil berkata: "Wahai sri baginda kami, siapakah yang menjadikan baginda murka, maka sesungguhnya dia akan kami hancurkan."

Iblis berkata: "Tidak ada sesuatu pun. Akan tetapi Allah Taala pada hari ini telah mengampuni umat ini. Maka kamu semua harus membuat mereka sibuk dengan segala macam yang lazat-lazat, dengan syahwat dan dengan minum khamar, sehingga Allah murka kepadanya."

Oleh itu, madrasah Ramadhan yang berjaya kita lalui seharusnya kita sambung sehingga ke 1 Syawal, disambung pula dengan puasa sunat Syawal malah terus sehingga Ramadhan dan Syawal tahun depan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan apa yang diucapkan oleh baginda SAW di bulan mulia ini iaitu "taqabbalallahu minna a minkum" (semoga Allah menerima amalan (ibadat di bulan Ramadhan) kami dan kamu). Segala kekurangan, kelemahan dan kesalahan sepanjang kita bersama membina ukhuwah ini, dengan penuh kasih sayang saya hulurkan sepuluh jari memohon kemaafan zahir dan batin. Mudah-mudahan dengan terhapusnya dosa sesama kita, maka akan bertambahlah ukhuwah dan kasih sayang dalam mengharungi perjuangan yang panjang dan mencabar pada masa-masa akan datang.