Friday, August 21, 2009

Berita Bergambar NICE 09

(Biro IT)

Sebagai menepati janji untuk membuat posting berita bergambar, maka di sini pihak kami menyertakan link ke berita tersebut bagi memudahkan pembaca sekelian untuk ke sana. Berikut adalah link ke berita bergambar tersebut. InsyaAllah posting ini juga akan berubah berdasarkan update berita tersebut...

Hari Pertama NICE 09
Hari Ke-2 NICE 09
Hari ke-3 Nice 09
Hari akhir Nice 09

Tuesday, August 18, 2009

NICE 2009 - Erti Perjuangan Pada Pengorbanan

(Pengerusi)

Tidak percaya rasanya bahawa National Ibnu Sina Conference And Community Engagement (NICE) 2009 telah berlalu 2 hari yang lepas. Semasa mula-mula 'menyahut cabaran' Papisma Pusat kira-kira 2 bulan yang lalu, semuanya kosong sebenarnya. Hanya berbekalkan semangat dan kepercayaan bahawa tidak ada yang tidak dapat dilakukan jika dilakukan secara berjemaah. Ya jemaah! Sesungguhnya ikatan ukhuwahlah yang menjayakan semua itu. Ukhuwah yang bertaut kerana Allah dalam jemaah Papisma Terengganu, yang organisasinya hanya terbina kira-kira setahun dua bulan itulah yang telah menyatukan hati-hati untuk merealisasikan aktiviti besar seperti ini yang termasuk di dalamnya aktiviti proaktif mendekati masyarakat dalam bentuk keluarga angkat dan Bakti Papisma yang julung-julung kalinya dilakukan oleh Papisma Terengganu, barangkali juga Papisma Pusat.
More...
Memang suatu cabaran yang besar. Tidak tergambar di kepala bagaimana dapat mengumpulkan adik-adik dari luar negara untuk berkampung di Qurata Riverside Resort, Kuala Ibai itu untuk berkonferen dan seterusnya meminta mereka untuk bersama keluarga angkat selama 2 hari pula...Semuanya seolah-olah bermula dari awal. Hanya mengharapkan hubungan internet dan blog. Namun kesungguhan semua yang terlibat dan kepercayaan adik-adik mahasiswa untuk bersama menjadikannya suatu realiti yang sukar untuk digambarkan. Akhirnya Allah telah mempermudahkan semuanya atas keikhlasan kalian. Alhamdulillah...

Daripada lebih 170 orang mahasiswa yang mendaftar (majoritinya luar negara), hanya tinggal 108 orang yang confirm untuk hadir di conference dan 11 lagi akan hadir di Bakti Papisma, namun setiap hari ada yang keluar dan masuk malah pada saat-saat akhirpun masih ada lagi perubahan pada senarai peserta. Timbalan Pengarah 2 (Kak Han) yang terlibat secara langsung dalam menguruskan semua adik-adik mahasiswa, pagi petang siang malam terus menghadap komputer bagi membuat finalised senarai terutama pada minggu akhir, namun rupa-rupanya senarai final hanya dapat dibuat pada majlis perpisahan... Itulah realitinya apabila berurusan dengan manusia yang tidak dapat lari dari kelemahan dan masalah.

Tahniah diucapkan kepada Pengarah 1 dan Timbalannya (Dr. Arif dan Dr. Nor Haizi) yang bertungkus-lumus menguruskan conference yang terpaksa beberapa kali bermesyuarat dengan Pengurus resort kerana perubahan pada bilangan kehadiran. Beliau yang juga paling banyak menjadi Pengerusi Majlis pada conference kali ini telah berjaya menghidupkan suasana dengan kepetahannya berucap dan berjenaka. Malah beliau telah dipilih untuk mengendalikan Majlis Perpisahan sehingga majoriti hadirin menitiskan air mata.

Saya yang hadir pada keseluruhan program dari menyusun meja pendaftaran sehingga mengemaskan ruang dewan selepas majlis perpisahan dapat merasakan betapa ruginya adik-adik yang tidak mengambil peluang untuk bersama NICE kali ini. Bagi adik-adik yang telah mendaftarkan diri tetapi tidak diizinkan oleh Allah untuk bersama, InsyaAllah sebahagian amal soleh itu akan tercatat untuk kalian. Bagi yang sempat bersama, InsyaAllah pengalaman dan input yang kalian terima selama bersama kami dalam NICE 09 ini akan menjadi pengalaman yang tidak mungkin kalian lupakan yang akan memandu sebahagian dari hidup kalian untuk menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat.

Semua itu tidak akan dapat dicapai tanpa pengorbanan. Kami jawatankuasa NICE 09 telah berkorban untuk kalian. Kalian pula telah berkorban untuk diri kalian sendiri. Kemanisan berjuang hanya dapat dirasai oleh mereka yang melakukan pengorbanan dengan ikhlas. Di akhirat nanti, ianya lebih manis lagi. Tanpa pengorbanan apalah ada pada perjuangan. Sesungguhnya erti perjuangan adalah pada pengorbanan.

Jazakallah kepada Papisma Pusat yang bertindak sebagai penasihat terutama kepada Presidennya, Dr. Suhazeli Abdullah, jawatankuasa NICE 09 dari Papisma Terengganu yang bertindak cemerlang, jawatankuasa masyarakat setempat di DUN Ladang, para peserta NICE 09 dan seluruh yang terlibat samada secara langsung dan tidak langsung untuk kejayaan program ini. Kalian semua telah berjasa kepada agama dan negara. Mudah-mudahan usaha kita semua akan diterima oleh Allah sebagai amal soleh InsyaAllah.

Laporan bergambar akan menyusul... InsyaAllah.