Sunday, November 8, 2009

Selamat Menunaikan Ibadat Haji

(Biro IT)

Kepada sanak saudara, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam yang telah dijemput oleh Allah Rabbul Jalil untuk menjadi tetamu-Nya... jutaan tahniah kami ucapkan dan selamat menunaikan ibadat haji. Mudah-mudahan kalian mendapat haji yang mabrur. Sesungguhnya keputusan kalian untuk menunaikan haji merupakan suatu keputusan yang terbaik. Biarpun seribu satu halangan yang terpaksa ditempuh, namun kalian telah memilih Allah untuk mengabdikan diri. Mudah-mudahan kalian akan terus ikhlas dalam beribadat yang menjadi kunci agar segala amal ibadat kalian diterima Allah... Firman Allah, "Tunaikanlah haji dan umrah kerana Allah". (Al-Baqarah: 196).
More...
Mengerjakan haji dan umrah itu amat besar ganjaran di sisi Allah. Dari Aishah radhiallahu'anha (r.ha) bahawa beliau pernah bertanya Baginda SAW, " Wahai Rasulullah, kami mendapati bahawa jihad itu adalah amalan yang paling baik. Bolehkah kami keluar berjihad? Jawab Baginda, "Tidak, tetapi jihad yang paling baik ialah haji mabrur. (HR Bukhari).

Dari Abdullah bin Masu'd radhiallahu'anhu (r.a) bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam (SAW) bersabda, "Hubungkanlah sekalian kamu antara haji dan umrah kerana ia menghapuskan dosa dan kemiskinan seperti menghembus tukang besi akan kotoran besi, emas dan perak. (HR Tirmizi).

Sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah dan tidak dicemari perkara dosa dan maksiat, dia akan kembali seperti hari pertama dia dilahirkan. (HR Bukhari).

Dari Ubadah bin Samit, menyatakan mengenai wukuf di Arafah, Allah berkata kepada malaikat, "Wahai malaikat, apakah yang dibawa -hambaku pada hari ini?" Jawab malaikat, "Mereka datang membawa harapan iaitu keredaan-Mu dan mengharapkan syurga-Mu". Allah menjawab, "Wahai malaikat, sesungguhnya aku menjadi saksi bahawa segala dosa mereka diampunkan walaupun sebilangan pasir di pantai".

Adapun ketika melontar jamrah, bagi setiap anak batu yang dilontar akan menghapuskan satu dosa besar. Ketika tawaf dilakukan, malaikat akan datang dengan meletakkan tangannya di bahu orang yang sedang bertawaf dan berkata, "Teruskanlah melakukan amalan kebaikan, sesungguhnya kesalahan kamu yang lalu sudahpun diampunkan. (HR Tabrani).

Berpandukan hadis di atas, Ibnu Hajar di dalam fatwanya menyatakan bahawa segala dosa sama ada kecil atau besar akan diampunkan Allah SWT.

Sabda Rasulullah, "Haji mabrur itu tiada balasan lain, melainkan syurga". Imam Nawawi di dalam syarah Muslim berpendapat bahawa orang yang mengerjakan haji itu bukan saja dosanya diampunkan malah mereka akan mendapat balasan yang lebih daripada itu iaitu syurga.


No comments: