Friday, November 27, 2009

Program Korban Papisma Bersama Masyarakat berjaya

(Biro IT)

Kuala Terengganu, 27 November 2009 (10 Zulhijjah 1430H)- Hari ini, Papisma Terengganu telah menempa satu sejarah baru apabila menjadikan Hari Raya Korban sebagai medan untuk berbakti kepada masyarakat. Hasil daripada kerjasama ahli-ahli Papisma Terengganu, Program Korban Papisma Bersama Masyarakat di bawah kendalian Dr. Md. Arif Ibrahim telah berjaya mengumpulkan kira-kira 100 ahli masyarakat yang miskin untuk menerima daging korban.

2 ekor lembu telah dikorbankan di perkarangan rumah ibu Dr. Md. Arif sendiri, di Kg. Titian Baru, 8 km dari Bandaraya Kuala Terengganu. Hasil kerjasama penduduk setempat, kerja-kerja menyembelih, melapah dan membahagikan daging yang dimulakan kira-kira pukul 3 petang itu telah selesai kira-kira pukul 4.30 petang.

Seterusnya, daging-daging itu dibungkus di dalam bekas-bekas kecil untuk diserahkan kepada wakil petugas untuk diedarkan kepada mereka yang telah disenaraikan.

Meskipun kehadiran wakil Papisma tidak menggalakkan ekoran terpaksa balik ke kampug masing-masing pada Hari Raya Aidil Adha ini, namun program telah dimeriahkan oleh penduduk setempat yang ringan tulang membantu sebagai amal bakti pada hari yang mulia ini.

Pengerusi Papisma Terengganu, yang juga turut hadir ke program ini melahirkan rasa syukur kerana program yang julung-julung kali diadakan ini mendapat sambutan daripada ahli-ahli. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Program, Dr. Md. Arif Ibrahim di atas cetusan idea dan kesungguhannya telah menjayakan program seumpama ini.

Mudah-mudahan program seumpama ini akan dapat menjadi program tahunan Papisma Terengganu dan menjadi contoh kepada Papisma cawangan lain demi kepentingan masyarakat miskin dan marhain.

Insya Allah laporan bergambar akan menyusul.

No comments: