Sunday, June 28, 2009

Profesor Madya Dr. Rashidi yang ku kenali

(Dari emel)

Tahniah atas perlantikan Professor Madya anda oleh Apex University USM.

Hatiku cukup gembira dengan berita perlantikan Dr. Rashidi ke Prof. Madya baru-baru ini. Maklumlah beliau adalah antara kawan baik aku semasa belajar di USM Kampus Cawangan Kesihatan (KCK) dulu (1990 - 1995).

Mula-mula berkawan dengan beliau semasa di KCK dah nampak bahawa beliau adalah seorang yang cergas, energetik, tak takut memberikan pandangan, mudah diajak berbincang malah mudah juga untuk 'diajak' bergurau. Beliau berkawan dengan semua orang, tak kira bangsa, tak kira 'klik'. Sebab itu dalam pertandingan jawatan untuk YDP Persatuan Sains Perubatan (PSP), pada tahun 1993, beliau berjaya menewaskan calon-calon yang lain.

Walaupun dalam kesibukan belajar, beliau juga melibatkan diri dengan Persatuan Seni Silat Cekak sehingga mendapat ijazah. Beliau cukup pandai membahagikan masa. Beliau bukan ulat buku, tetapi berjaya menguasai pelajaran, persatuan dan aktiviti ko-kurikulum yang tak wajib tetapi berdasarkan minat semata-mata. Barangkali itulah jati diri beliau yang membolehkan beliau terpilih untuk terus naik dalam bidang akademik ini.

Dalam KBI, beliau juga merupakan antara tonggak yang awal. Aku masih ingat pada awal tahun 1994 dulu apabila ramai kawan-kawan lain yang tidak sanggup untuk mewakili USM ke perhimpunan ISP di Bangi, beliau telah sanggup pergi bersama-samaku dengan menaiki sebuah kereta 'tua'ku bersama isteriku dan dua orang muslimat lagi. Selepas rehat di Genting Sempah, beliau telah menggantikanku memandu. Ketika itu hujan renyai-renyai. Jalan licin. Sebaik saja melepasi terowong di Lebuhraya Karak itu jalan curam. Papan tanda mengarahkan agar menggunakan gear rendah. Tapi aku lihat Dr. Rashidi memandu agak laju. Maklumlah beliau baru saja mendapat lesen memandu ketika itu. Kebetulan kenderaan cukup banyak. Jalan masih dua hala. Di hadapan kami pula sebuah lori yang dipandu perlahan ke arah yang sama. Dengan segera saya meminta beliau untuk memperlahankan kenderaan. Beliau menekan brek, tetapi kereta kami terus saja meluncur kehadapan hampir melanggar belakang lori tersebut. Beliau panik. Kamipun panik. Saya terpaksa membuat keputusan pantas dengan memaut stereng ke kiri untuk mengelak lori tersebut lalu ... DOOOM!!... kereta kami telah melanggar penghadang jalan dan berpusing 180 darjah! Kami kemalangan di tepi gaung yang kedalamannya kira-kira 200 meter itu! Namun, Alhamdulillah tiada kecederaan yang berlaku tetapi bahagian hadapan kereta kemek. Kedua-dua lampu masih berfungsi meskipun tidak menghala ke hadapan. Kami berhenti di Greenwood untuk membaiki sedikit-sebanyak kerosakan ala kadar dan meneruskan perjalanan ke Bangi.

Saya percaya beliau masih ingat peristiwa yang agak sukar untuk dilupakan ini.

Selepas grad, kami meneruskan haluan masing-masing. Kami bertemu dalam Hari Keluarga USL yang diadakan setahun sekali di Melawi, Bachok. Kadang-kadang kami bertemu juga di Kuala Terengganu semasa beliau posting di sana. Beliaupun suka juga buat locum. Maklumlah, ada masa... ada peluang... rezeki jangan ditolak... Masa tu gaji doktor tak seberapa berbanding hari ini. Hari ni, agak sukar doktor nak buat locum kerana gaji mereka dah mencukupi. Tahniah Kementerian Kesihatan atas keprihatinan anda kepada kawan-kawan semua.

Dr. Norrohimah bt. Sidek (kiri), isteri Prof. Madya Dr. Rashidi dan anaknya bersama Dr. Zaihan Salleh dan anak-anaknya semasa di Kuantan.

Dr. Rashidi telah berkahwin dengan Dr. Norrohimah melalui usaha UBM. Tetapi bila tarikh sebenar mereka berumahtangga aku tak pasti, sebab masa tu kami telah bekerja di tempat yang berlainan. Beliaupun tak menjemput aku. Tapi aku bersyukur juga kerana beliau telah berkahwin dengan idaman hati.

Baru-baru ini, setelah lebih lima tahun tidak bertemu, hanya bertemu dalam telefon dan kadangkala sms semasa hariraya, kami dapat bertemu di KKP 09 di De Rhu, Kuantan. Hajat hati aku nak berbual panjang dengan beliau, tetapi tak kesampaian kerana beliau jarang pula turun ke bawah dan bersama-sama kami bersukaneka dan bermain kolam. Cuma aku memang tahu akan adanya temuduga untuk jawatan itu. Dalam hati aku berdoa agar beliau berjaya.

Alhamdulillah beliau telah berjaya. Kejayaan itu tentunya amat menggembirakan kita semua. Ia menjadi pendorong kepada kawan-kawan dan para junior untuk terus melangkah dalam bidang akademik perubatan/kesihatan ini. Melihat kejayaan ini juga, untuk melepasi profesional exam (tahun 5) bagi adik-adik student menjadi semakin mudah. Kalau Dr. Rashidi yang hampir berusia 40 tahun itu masih berupaya untuk belajar dan membuat kajian-kajian, tentulah adik-adik yang baru berusia awal 20-an tidak menjadi masalah langsung untuk melakukan usaha yang lebih untuk berjaya.

Doaku, semoga kejayaan itu akan menjadikan beliau semakin tawadhuk dan dapat menyumbang tenaga dan idea untuk kepentingan ummah dan negara, melalui Papisma dan apa jua wadah yang ada.

3 comments:

Rashidi said...

ASM. Terharu aku membaca ulasanmu. Terimakasih byk2 kerana masih ada orang yang ingat padaku. Semoga dirimu dan keluarga dirahmati Allah.

fitri dan shahiir said...

ulasan ini begitu menarik.saya berasa cukup terhibur,tolong la cerita lagi pasal sahabat baik anda yang lain.

Biro IT said...

To Prof. Madya Dr. Rashidi... walaupun agak lewat membacanya, tapi sekurang-kurangnya beliau tahu adanya tulisan ini... Semoga anda terus berjaya.

To fitri dan shahiir, InsyaAllah... jika ada peluang, kami akan bercerita seadanya...

Untuk semua pembaca... Selamat mengejar malam lailatul qadar.