Sunday, May 17, 2009

Kenapa Tiada Hari Doktor?

(Ibnul Munzir)

Sudah lama saya tertanya-tanya kenapa Hari Guru disambut tetapi tiada sambutan Hari Doktor? Meskipun sambutan Hari Guru tidaklah sampai cuti sekolah, tetapi dengan adanya hari kenangan seumpama itu akan menaikkan martabat sesuatu profesion. Sebagaimana Hari Ibu, Hari Bapa dan berbagai hari lagi yang disambut untuk menjadi kenangan sambil menaikan martabat mereka.

Saya tidak bermaksud mempertikaikan profesion guru... masyaAllah... kerana saya juga dididik dan dibimbing oleh para guru. Para gurulah yang menerangi kegelapan lantaran kegelapan itu adalah akibat kejahilan. Saya hanya bermaksud mencambah minda agar kita bertambah kritikal dan tidak hanya menerima dengan seadanya tanpa berusaha menilai dan membuat perubahan.

Di Malaysia, guru merupakan satu profesion dan jawatan. Dengan profesion itu mahu atau tak mahu mereka memang bertugas mendidik para pelajar yang datang ke sekolah. Sebagai satu profesion yang dibayar gaji, maka tugas mereka telah ditetapkan secara hakiki untuk mengajar subjek-subjek tertentu. Kalau di sekolah rendah, maka 5 subjek itulah yang menjadi subjek pengajaran mereka. Kalau di sekolah menengah peringkat PMR, maka 8 subjek itulah yang menjadi subjek pengajaran mereka dan begitulah seterusnya di peringkat SPM dan STPM. Apakah subjek-subjek itu menjadikan murid-murid tersebut boleh berdikari dan menjadi warga berguna boleh fikir-fikirkan sendiri. Tetapi, itulah profesion guru yang melayakkan ia disambut setiap tahun. Setakat mana pula title guru itu sayapun tak pasti. Cuma setahu saya pensyarah universiti tidak pernah menyambut hari guru lantaran mereka bukan lagi guru tetapi pensyarah.

Oleh itulah saya mengutarakan pandangan mengapa tiada sambutan Hari Doktor? Doktor juga merupakan salah satu profesion di Malaysia. Doktor bertugas dalam suasana yang kritikal sepanjang masa bagi mereka yang bertugas di bahagian klinikal. Mereka menyelamatkan nyawa dengan mengorbankan kesenangan diri. Doktor tiada hari cuti yang panjang seperti guru dan kadangkala cutinya yang hanya dua hari seminggu itu diragut dek kerana on-call.

Sememangnya mereka dibayar atas kerja-kerja yang dilakukan lantaran ia merupakan profesion pekerjaan, tetapi tugasnya yang kritikal dan tidak mengenal masa itu masih tidak melayakkan ianya disambut dengan Hari Doktor. Saya terfikir, kadangkala doktor bukan hanya bertugas sebagai merawat pesakit, tetapi juga sebagai guru apabila mendidik setiap pesakit agar mengamalkan cara hidup sihat dan menjauhi perkara-perkara yang membahayakan kesihatan. Bagi mereka yang muslim pula seringkali mengingatkan agar mengerjakan solat ketika sakit dan mengajar bagaimana bertayammum dan bagaimana mengerjakan solat ketika sakit dan ketika mengalami berbagai-bagai masalah kesihatan. Dari baru lahir sehingga menghembuskan nafas terakhir, kadangkala doktorlah yang bersusah payah menguruskan mereka.

Jadi, barangkali dengan beberapa sentuhan mengenai tugas-tugas doktor itu, ia juga layak disambut dengan Hari Doktor, bukan kerana mengharapkan apa-apa, lantaran memang tiada apa-apapun 'sambutan' pada hari itu... tetapi agar masyarakat memaklumi bahawa tugas-tugas doktor itu merupakan satu tugas yang sepatutnya dikenang. Sama-samalah kita fikirkannya...

No comments: