Sunday, February 8, 2009

Mentaati Sultan Dalam Melanggar Undang-Undang?

(Insider)

Undang-undang adalah suatu peraturan bertulis yang dikanunkan untuk dilaksanakan bagi menjaga keamanan, kenteraman, kemakmuran, keadilan dan lain-lain nilai murni untuk kehidupan di dalam masyarakat. Sekiranya sesuatu undang-undang itu dilanggar, pastinya perlanggaran itu akan menyebabkan satu atau kesemua nilai murni untuk masyarakat itu akan terancam atau binasa. Tidak ada pihak yang boleh melanggar undang-undang. Kerana undang-undang dicipta adalah untuk masyarakat. Mengapa harus melanggar undang-undang sekiranya undang-undang itu telah menjamin kehidupan yang aman makmur dan sejahtera?

Dalam isu yang melanda negeri Perak yang tidak tahu bilakah dan apakah kesudahannya ini, suatu yang tidak kena telah berlaku. Pihak PR menuduh UMNO/BN melanggar undang-undang dan pihak BN menuduh PR menderhaka kepada Sultan.

Kedua-dua tuduhan memang betul kerana UMNO/BN memang melanggar undang-undang kerana 'menculik' dan 'merasuah' ADUN PR sehingga 'memaksa' ADUN-ADUN tersebut berpihak mereka. Tujuannya satu iaitu untuk menumbangkan kerajaan PR Perak dan mengambil-alih pemerintahan kerajaan. Sedangkan tuduhan UMNO juga betul di mana PR derhaka kepada Sultan Perak kerana tidak mematuhi arahan sultan. Malah sesetengah pihak seperti DAP juga betul apabila mendakwa Sultan boleh disaman di mahkamah kerana melanggar undang-undang di mana Artikel 16 (6) dalam Sistem Raja Berperlembagaan Malaysia, kuasa Sultan hanya boleh melucutkan ahli exco sahaja, bukan boleh memecat MB.

Marilah kita lihat dengan saksama, bukan dengan emosi. Umpama kata-kata kumpulan nasyid Rabbani dalam lagu Iltizamnya iaitu, "emosi bukanlah penyelesaian". Dalam keadaan apapun, pastinya ada sesuatu yang boleh dan perlu dijadikan tempat rujukan. Di sini kita melihat ada beberapa tempat rujukan yang boleh menyelesaikan konflik. Pertama Sultan dan kedua Undang-Undang / Perlembagaan. Tempat rujukan mestilah pihak ketiga kerana hakim mestilah orang yang tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan. Maka di sini dengan sendirinya Sultan terpaksa diketepikan kerana dalam kes ini Sultan telah terlibat.

Apabila tempat rujukan adalah Undang-Undang / Perlembagaan, maka kita perlu membuka dan meneliti apakah yang termaktub dalam Perlembagaan. Jadi jelas bahawa satu pihak mesti betul dan satu pihak mesti mengaku bersalah. Tidak mungkin kedua-duanya betul. Dalam kes ini, UMNO/BN tidak boleh bersandar kepada Sultan kerana ia telah melanggar Perlembagaan. Jika perkara ini dibiarkan, ia akan memusnahkan institusi Kesultanan Melayu dan sistem perundangan di Malaysia tak kira apa jenis perundangan sekalipun.

Seorang Sultan tidak boleh mengajar rakyat untuk melanggar undang-undang. Baginda perlu akur bahawa dalam kes ini baginda perlu kembali kepada peranannya sebagai payung kepada rakyat yang menegakkan keadilan. Baginda bukan maksum. Setiap manusia ada melakukan kesilapan samada kecil ataupun besar. Jika baginda meneruskan niat untuk mengiktiraf kerajaan UMNO/BN, maka baginda telah memberi lampu hijau kepada rakyat untuk melanggar undang-undang. Bila undang-undang telah dipijak-pijak, negara akan musnah! Kalau seorang ayah menyuruh anaknya merompak, maka menderhaka kepada bapa itu adalah suatu kemuliaan di sisi Allah. Meskipun ayah wajib ditaati, iaitu ketaatan keempat setelah Allah, Rasul dan ibu, namun dalam perlanggaran kepada larangan Allah, ia suatu yang menjadi wajib diingkari. Begitu juga dalam kes ini, mengingkari perintah Sultan adalah suatu yang wajib demi menjaga kedaulatan perlembagaan. Kerana, selagi perlembagaan dipelihara, selagi itulah kesejahteraan negara akan terpelihara. Perlanggaran kepada undang-undang dan perlembagaan adalah suatu penderhakaan kepada Allah kerana menyebabkan institusi masyarakat akan rosak dan binasa. Sesungguhnya ketegasan seorang pemimpin seperti MB Nizar untuk berpegang kepada perlembagaan merupakan sikap terpuji dan ketegasan inilah yang sebenarnya akan menyelamatkan masyarakat dan generasi akan datang.

Beberapa buku sejarah menceritakan pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri.

Beliau bertanya mereka berdua mengenali arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada diantaranya ada yang menyanggahi kebenaran. Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah”. Apa pendapat kamu?”.

Jawab al-Sya’bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah”. Kemudian ‘Umar bin Hubairah bertanya kepada al-Hasan al-Basri: “Apa pendapatmu pula?”. Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”. “Aku mahu pendapatmu”, tegas gabenor itu.

Kata al-Hasan al-Basri: “Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu dari pada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Jika engkau bersama Allah dalam ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Allah akan serahkan engkau kepada Yazid “. Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah.

No comments: