Friday, November 21, 2008

Pengajaran Liqa' - Memahamkan Masyarakat Hakikat Islam

(Biro IT)

Banyak kekeliruan yang telah berlaku di dalam masyarakat adalah akibat penerapan yang diberi di peringkat sekolah rendah lagi, termasuklah di kalangan kita para pendokong Islam. Contohnya dalam subjek sains tentang kejadian hujan. Menurut sains, hujan terjadi akibat terkumpulnya wap air yang tersejat dari permukaan bumi. Apabila wap air itu terkumpul, maka terjadilah awan. Setelah awan itu cukup berat, maka terjadilah hujan. Sedangkan hakikat sebenarnya ialah hujan itu telah diciptakan Allah mengikut kadar dan ketetapan-Nya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Dialah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak makan padanya.” (An-Nahl: 10)

Begitulah antara kupasan yang diberikan oleh penceramah jemputan yang merupakan naqib Papisma Terengganu (muslimin), Ust. Burhanuddin (Bob) malam tadi. Jika teori sains ini benar, sudah tentu tidak berlaku hujan lebat dan banjir di tanah arab seperti yang berlaku di Mekah dan Madinah beberapa tahun lalu - pen. Begitu juga dengan kes malapetaka Tsunami yang berlaku beberapa tahun lalu, ia tidak melanda semua tempat yang terdedah kepadanya, tetapi lebih kepada tempat yang mana di sana telah berlaku maksiat dan kemungkaran yang besar. Ini menunjukkan bahawa semua itu adalah ketetapan Allah. Sebab itu sains perlu diulas agar bertepatan dengan Al-Quran. Jika kita sentiasa menanamkan kefahaman ini kepada masyarakat (pesakit), sudah tentulah mereka akan lebih redha dengan ketentuan Allah dan akan bergantung harap kepada Allah untuk menyembuhkan penyakit-penyakit mereka.

Apabila Allah menurunkan hujan, maka turunlah bersamanya rezeki, sebagaimana fiman-Nya lagi:
"Dia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir" (An-Nahl:11)

Dalam hal ini Allah telah menyebutkan tentang buah zaitun, tamar dan anggur dengan jelas. Ini menunjukkan bahawa khasiat buah-buahan ini terlalu banyak terutama dari segi khasiat dan penyembuhan penyakit. Banyak kajian saintifik telah dibuat terhadap buah-buahan ini dan seharusnya pesakit-pesakit digalakkan mengambilnya mengikut cara Nabi Muhammad SAW agar ianya menghasilkan kesan yang maksimum. Jadi, Ust. Bob mencadangkan supaya jadikanlah buah-buahan ini sebagai 'buah tangan' apabila menziarahi pesakit berbanding limau dan epal. Khasiat anggur kering (kismis) adalah menyamai buah tamar dari segi penyembuhan.

Ust. Bob juga menyebut tentang bagaimana menambahkan keberkatan ubat dan rawatan yang diberikan kepada pesakit (agar lebih mujarab) iaitu dengan mengamalkan tip-tip rawatan sebagaimana yang diamalkan oleh Bapa Perubatan Islam, Ibnu Sina (rh) seperti berikut:
Sebelum memulakan kerja setiap pagi, ucapkanlah istighfar (3x), selawat (3x), Laa haula walaa quwwata illa billahil 'aliyyil 'adziim (3x) dan Al-Fatihah (1x). Insya Allah akan memperoleh kemudahan dalam mendiagnos dan merawat pesakit.

No comments: