.

PAPAN KENYATAAN



  • PROGRAM-PROGRAM PAPISMA TERENGGANU AKAN DIMAKLUMKAN TAK LAMA LAGI




    Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda;
    “Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.” (HR At-Tirmizi)

    Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda :
    " Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin, suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat."(HR Muslim)

  • JUALAN BUKU


    Hubungi
    Dr. Zaihan Salleh (012-9850123)


  • Hubungi
    Dr. Khatijah Musa (019-9222057)

Wednesday, October 29, 2008

Mengenali Blogger Lebih Dekat

(Biro IT)

Dua hari lepas saya isteri dan anak-anak sempat mengunjungi seorang blogger terkenal negeri Terengganu iaitu Amdang81 atas jemputan untuk rumah terbuka Aidilfitri. Kami dijemput melalui perkenalan maya antara blogger melalui blog isteri saya yang dah semakin famous sekarang. (ehm...ehm...)

Apa yang menariknya mereka yang berblog ini ialah mereka manusia biasa yang berjiwa 'luar biasa'. Tidak ada kepentingan yang dicari dalam menyampaikan berita benar, pendapat dari hati kecil seorang rakyat merdeka, komen membina, perkongsian ilmu yang bermanfaat dan lain-lain selain dari inginkan kebenaran dan keadilan ditegakkan. Itulah kepuasan seorang blogger. Sebab itu mereka selalu berada di balik 'tabir' blog sendiri. Mereka tidak mahu dikenali. Bukan takut... sekadar tidak mahu dikenali.

Amdang81 seorang manusia yang sangat biasa. Seorang pemuda yang baru berkahwin dan menimang cahaya mata belum sampai 6 bulan. Rumahnya pun kecil di celah-celah rumah orang lain. Nak masuk ke rumahnya kena lalu celah-celah rumah jiran yang muat satu kereta bersaiz kecil. Kalau celah rumah tu diletakkan pasu bunga pun, motorsikal susah nak lalu, apatah lagi kereta. Namun, jiwanya merdeka dan mampu memerdekakan jiwa orang lain juga. Suara hatinya didengar melalui tulisannya ke seluruh dunia. 'Suratkhabar'nya dibaca sehingga ke pesuruhjaya Polis Bukit Aman. Ertinya, manusia sekerdil Amdang81 ini sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar sehingga kata hatinya didengari pemimpin tertinggi negara. Biarlah rumah kecil asalkan berjiwa besar. Rumah hanyalah tempat tidur dan berehat yang sebentar sebelum kembali meneruskan perjuangan. Benarlah moto dalam blognya "Tiada Rehat Dalam Perjuangan".

Kalau saya tidak mengetahui yang beliau mempunyai blog yang hebat, secara fizikalnya saya hanya melihat sesusuk tubuh yang biasa, pemuda yang agak pemalu, mudah tersenyum, lemah lembut yang sama saja seperti orang lain. Memang benarlah kata-kata seni yang menyatakan bahawa "pandangan mata itu keliru"... Itulah kelebihan seorang blogger seperti Amdang81. Sungguh bertuah dapat berkenalan dengan seorang pejuang yang ikhlas. Berani membongkar kemungkaran, sanggup menghadapi badai cabaran dan duri kesusahan tanpa mengharapkan walau satu sen habuan wang ringgit dan kekayaan. Sebagai pejuang Islam, perjuangannya tidak akan sia-sia kerana ganjaran yang amat besar sedang menanti di negeri yang kekal abadi iaitu Akhirat...

Bendahari Papisma Terengganu Semakin Sembuh

(Wartawan Bebas)

K. Trg, 28 Okt - Bendahari Papisma Terengganu telah beransur pulih dan kini sedang berehat dengan MC selama 2 minggu. Ketika dihubungi hari ini beliau mengucapkan syukur dan terima kasih kepada semua sahabat/iat yang telah memberikan pertolongan, perhatian dan doa.

Mudah-mudahan beliau akan pulih sepenuhnya dan dapat kembali bertugas seperti sediakala.

Tuesday, October 28, 2008

Hari-Hari Di Wad Ortopedik

(Sahabat Papisma)

Jika belajar bidang perubatan lebih dari sekadar payah.

Menjadi pengamal perubatan yang ikhlas dan dan sabar perlu dibayar dengan harga sebuah mujahadah.

Terakhir Di Ortopedik

Bulan ini merupakan bulan terakhir saya di Jabatan Ortopedik. Bila di kenang-kenangkan, pengalaman selama 4 bulan berhadapan dengan pelumba haram tidak bertauliah (baca:mat rempit) hinggalah merawat seorang kanak-kanak yang hancur beberapa puntung jarinya beberapa hari sebelum hari raya Aidilfitri baru-baru ini, merupakan satu pengalaman yang sukar untuk di lupakan. Benar, tanpa kesabaran (atau memaksa diri untuk sabar sebagaimana yang selalu saya amalkan), posting ini seumpama satu tempoh membuang masa sia-sia, merawat orang yang tidak pernah reti menilai nikmat anggota tubuh badan yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. Bak kata kawan-kawan saya:

“Kita yang lebih sayang mereka lebih dari diri mereka sendiri”,

Sehingga seakan sudah menjadi rutin dikalangan kami untuk berceramah dan berleter kepada mat-mat rempit sebelum memberi rawatan kepada mereka.

Nilai Manusia

Itu dari satu sudut. Di Jabatan Ortopedik ini jugalah saya belajar untuk menerima dan merawat pesakit walau bagaimana sekalipun latar belakang mereka. Ya, mereka golongan yang tidak tahu erti nilai suatu nyawa. Mereka juga mungkin seorang yang ingin berseronok tanpa memikirkan kesan tindakan mereka kepada diri dan keluarga. Tetapi mereka tetap satu amanah yang di hantar oleh Allah. Ini satu tanggungjawab. Bukan beban apatah lagi merasakan mereka tiada harga untuk di berikan rawatan sebagaimana pesakit yang lain.

Pesanan Syeikh Yusuf Al Hasani

Semuanya mengingatkan saya akan pesan Syeikh Yusuf ketika mengadakan pertemuan bersama kami; Pelajar perubatan di Mesir suatu masa dahulu. Katanya:

Sebagaimana seorang Ulama’ itu menunjukkan jalan untuk beribadah kepada Allah melalui curahan ilmunya,begitulah kemuliaan tugas seorang pengamal perubatan,yang juga menunjukkan jalan kepada ubudiah dengan merawat seorang pesakit sehingga mampu kembali beribadah. Masing-masing punya peranan menyebarkan rahmat Allah kepada sekalian hambaNya mengikut kemampuan dan kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka.

Allah berfirman dalam surah Isra‘:

“Katakanlah, setiap mereka beramallah mengikut kemampuan yang ada, maka Tuhanmu lah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk”.

Jika ianya benar-benar dapat di fahami oleh pengamal perubatan, nescaya pekerjaan mereka akan di nilai sebagai ibadah, berbanding dengan seorang yang hanya memberi rawatan untuk mendapat keuntungan di atas musibah yang menimpa seorang hamba Allah.

Ruang Mujahadah

Yang pasti, praktiknya tidak semudah teorinya. Meminjam kata-kata Ustaz Hasrizal, ramai yang TAHU, tetapi sedikit yang MAHU apatah lagi MAMPU untuk mengamalkan. Di sinilah ruang mujahadah. Tanpa mujahadah dan kesungguhan, pasti kita akan memilih untuk meminggirkan dan memandang hina kepada mereka, tanpa memberi ruang kepada mereka untuk berubah,sedangkan kitalah wasilah perantara kasih sayang Allah Taala kepada hambanya.

Jadilah seperti Rasulullah seperti yang digambarkan Allah Taala sebagai “‘Azizun ‘alihi ma ‘anidtum”, seorang yang turut merasakan kepahitan umatnya yang di timpa kesusahan dan “Rahmatan lil ‘alamin”, pengutusan Baginda s.a.w menjadi rahmat kepada sekalian alam.

Mujahadahlah wahai diri!


Monday, October 27, 2008

Bendahari Papisma Terengganu Kemalangan

(Wartawan Bebas)

K. Trg, 26 Okt - Bendahari Papisma Terengganu, Siti Nurain bt. Samwil, Pegawai Pemakanan Hospital Sultanah Nur Zahirah telah mendapat kemalangan pagi ini dalam perjalanannya ke tempat kerja dari rumah saudaranya di Besut. Kemalangan itu berlaku dekat Merang, Setiu setelah terlanggar sebuah motorsikal yang tumbang di tengah jalan kerana terlanggar babi hutan yang melintas. Akibatnya, beliau yang memandu sendirian itu tidak dapat mengawal keretanya dan terbabas lantas terlanggar pokok. Beliau yang tidak sedarkan diri telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Batu Rakit dan seterusnya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dengan menggunakan ambulan.

Alhamdulillah, beliau yang mengalami cerebral concusion dan bengkak di mata kirinya serta sedikit luka itu telah sedarkan diri ketika ditemui pada pukul 6 petang di wad 2CD. Pemeriksaan lanjut akan dijalankan oleh pihak hospital. Keluarganya di Negeri Sembilan yang mendapat tahu berita ini sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk melawat beliau.

Pihak Papisma Terengganu merakamkan takziah di atas apa yang berlaku. Serentak dengan itu, Potfolio Kebajikan telah melancarkan derma kilat untuk beliau. Bagi ahli yang ingin membuat kebajikan dengan melakukan derma ini bolehlah memberikannya kepada Setiausaha Papisma Terengganu, Dr. Shafinaz bt. Salehen.

Wednesday, October 22, 2008

TOK GURU SEMAKIN SIHAT : MARILAH DOAKANNYA

(Wartawan Khas)
KOTA BAHARU: Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin sihat dan dijangka dapat menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentangkan Bajet 2009 Kelantan, jika dibenar keluar dari hospital dalam tempoh terdekat.

Nik Abdul Aziz yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, berkata setelah mendapat rawatan di hospital itu sejak Sabtu lepas, keadaan kesihatannya bertambah baik.

"Saya tidak dapat hadir perasmian sidang DUN sebab masalah kecederaan tempurung lutut sebelah kiri, ia kesan daripada terjatuh kuda dahulu.

"Masalah ini timbul selepas pulang daripada Majlis Mesyuarat Raja-Raja di Kuala Terengganu Khamis lepas. Tapi, kini ia bertambah baik dan saya harap dapat hadir sidang DUN," katanya ketika ditemui pemberita di HUSM di sini hari ini.

Nik Aziz berkata bagaimanapun beliau perlu menjalani fisioterapi.

Terdahulu, Nik Abdul Aziz, 77, menerima kunjungan rombongan wakil rakyat Barisan Nasional Kelantan diketuai Ketua Pembangkang yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Turut serta Adun Pengkalan Kubor Datuk Noorzahidi Omar dan Adun Paloh Datuk Nozula Mat Diah.

Sidang DUN Kelantan yang bermula Isnin lepas akan berakhir 29 Okt. BERNAMA

Saturday, October 18, 2008

Jamuan Aidil Fitri PAPISMA Terengganu




Di sini kisah coretan bermula,
Walau penat letih tak terkira,
Zaujah presiden (bertudung merah) tak lokek membuka bicara,
Melayan tetamu yang kunjung tiba...



Soto ayam juadah utama,
Menjadi santapan di jamuan raya,
Sedap rasanya tak terkira,
Memang berbaloi mari beraya!



Tengok tu, asyiknya dia!
Menyantap juadah, tak jeling kelain dah dia,
He,he,he..adik bertiga jangan le murka,
Saja je seronok tengok adik berselera....



Ni dia orangnya yang pantang diajak,
Bab makan tak pernah tolak,
Dari muda sampai umur terlajak,
Selera 'Ustaz' Arif memang bergejolak....(he,he..)



Soto ayam belum selesai lagi,
Tapai manis dah menunggu,
Bior betul ngko ni Dr Razin oii,
Silap-silap kencing manis karang, ternganga melungu...!



Oooo..Dr Wan Zulkhalidpun ada,
Datang jauh dari Kemaman,
Banyak-banyak kuih yang ada,
Keropok juga le jadi pilihan....



Alamak, dah singsing lengan weh,
Nak bersilat ke, nak bersantap ni?
Sabar je le Dr Rohaizi weh,
Beriya benor nak menjamu selera ni...



Tu dia cedokan dah bermula,
Lega rasanya tak jadi bersilat,
Sila, sila...jangan tak mula,
Yang dua belakang tu pula ke nak bersilat?



Doktor muslimat tak siap-siap lagi?
Hmm nampak gaya memang berhati-hati
Mungkin agaknya kunyah tak renti-renti
Agar yang disantapi hadam sepenuh hati!



Pinggan tersusun, hidangan langsai,
Perut dah nyondol, badanpun santai...



Perut dah kenyang, hatipun senang,
Presiden, Pengerusi..apa lagi?
Masa yang ada, bincang...jangan tak bincang,
Bukan senang nak berjumpa lagi...!



Makan, makan juga...
Misi dan visi jangan dilupa,
Papisma Terengganu  bersiap siaga,
Khidmat yang perlu tak pernah dilupa...



Puteri tiga tak pernah ketinggalan,
Bakal pewaris perjuangan Papisma,
Anak-anak pencetus kemeriahan,
Penyambung zuriat generasi Papisma...



Adik-adik USM meriahkan suasana,
Kebetulan di kuala, terus ke hulu,
Ikatan ukhuwwah pengikat kasih mesra,
Moga bertaut hati yang satu...



Ruangan lapang mendamaikan hati,
Rasa berat nak bawa diri,
Hai...bilalah Presiden nak jemput lagi,
Memang kitapun nak datang lagi, lagi dan lagi...!



Muslimatpun bukan main bersantai diri,
Sekali-sekali mendapat pelawa,
Tak mudah muslimat nak bawak diri,
Kalau tak diajak dan tak dipelawa...!



Berakhirnya jamuan, berakhirlah layan diri,
Sebelum balik, mari le berposing,
Nak masuk blog punya hal lah ni,
Sanggup semua tunggu nak berposing!



Satu lagi pose dari kami,
Untuk tatapan warga Papisma,
Inilah dia ahli kami,
Papisma Terengganu yang penuh karisma!

h

Akhir bicara penutup sukma,
Inilah dia adik-adik kami,
Bakal pewaris perjuangan Papisma,
Tanpa mereka siapalah kami?

__________________________________________________


__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com

Sambutan Aidilfitri Papisma Terengganu

(Wartawan Bebas)

17 Okt. 2008 (17 Syawal 1429H) - Hulu Terengganu, Alhamdulillah, Papisma Terengganu telah berjaya mengadakan Program Sambutan Aidilfitri hari ini di rumah Presiden. Sambutan yang sederhana tetapi meriah itu telah dihadiri oleh 21 ahli Papisma seluruh negeri Terengganu termasuk Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman. Sambutan itu juga telah dihadiri oleh wakil pelajar perubatan USM seramai 5 orang (semua muslimat).

Program yang bermula pada pukul 10 pagi itu telah tamat pada kira-kira 12.45 tengahari. Berbagai hidangan telah disediakan seperti soto, kuih muih, 'colek' dan buah-buahan. Semuanya 'made-in' Kuala Berang.

Untuk makluman semua, Presiden akan bertugas untuk jemaah haji bermula pada 22 Oktober (bertolak) dan akan kembali ke tanahair selepas Hari Raya Aidiladha nanti.

InsyaAllah, berita seterusnya akan menyusul dalam bentuk berita bergambar.