Thursday, September 4, 2008

Memanfaatkan Kekayaan Dan Kesihatan

Baca dan hayatilah sehingga ke penghujung tulisan...

Memanfaatkan Kekayaan Dan Kesihatan

(Oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat)


Kesihatan adalah antara kurnia Allah SWT yang sangat berharga dan suatu nikmat yang wajib dijaga dengan sebaiknya. Sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kesihatan disifatkan sebagai mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Ramai orang yang tidak menghargai kesihatan anugerah daripada Allah SWT itu. Justeru kita melihat kalangan yang terlibat dengan benda yang boleh membinasakan diri, misalnya penyalahgunaan dadah, ketagihan arak dan rokok. Alangkah malangnya jika antara kebiasaan yang buruk itu mengakibatkan mereka diserang oleh penyakit maut iaitu AIDS.

 

Hampir seluruh kebahagiaan dan kenikmatan hidup bergantung dengan kesihatan. Makanan yang lazat menjadi sebaliknya apabila demam. Tilam yang empuk memberikan kerehatan semasa tidur, namun apabila seseorang itu sakit tenat, tilam yang empuk telah menyiksanya kerana dia terpaksa terbaring sepanjang masa. Akhirnya tilam itu bagaikan penjara baginya.

 

Lazimnya manusia akan sedar betapa pentingnya kesihatan setelah dia jatuh sakit. Kesihatan yang terganggu bukan sahaja menyebabkan daya mengecap nikmat turut terganggu, malah ia juga adalah suatu kesengsaraan. Sakit yang tenat akan menghalang pelbagai kegiatan sama ada kegiatan ibadah, ekonomi, sosial dan sebagainya. Wang yang banyak mungkin akan susut untuk membiayai rawatan.

 

Lantaran itu, masa sihat perlu digunakan sebijak mungkin bagi melakukan segala yang mendatangkan manfaat untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama, sama ada dalam urusan dunia ataupun akhirat kerana semuanya akan mudah dilakukan ketika badan masih sihat.

 

Seterusnya dalam hadis riwayat at-Tirmidzi dan Muslim daripada Amru bin Maimun itu, Rasulullah SAW menjelaskan betapa perlunya merebut kesempatan ketika 'masa kaya sebelum didatangi kepapaan'.

 

Kekayaan harta benda tidak kekal. Ia boleh bertambah dan sebaliknya boleh musnah dalam sekelip mata. Justeru kekayaan adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT. Cara mendapatkannya dan juga cara menggunakannya ditentukan peraturannya oleh Allah SWT.

 

Harta boleh dicapai seberapa banyak dan sedaya mana yang mampu dilakukan oleh manusia, tetapi bukan untuk menjadi Qarun yang mabuk dengan kekayaannya, dilaknat dan diazab oleh Allah SWT kerana kekayaannya dan bukan untuk menyuburkan sifat bakhil dan tidak bersyukur seperti Tsa'labah.

 

Kekayaan sebagai amanah Allah SWT, bererti setiap rezeki yang diperoleh tidak boleh didakwa sebagai milik yang mutlak. Pada harta itu, anak-anak dan keluarga turut berhak ke atasnya, kaum kerabat dan jiran-jiran yang memerlukan pertolongan, fakir miskin yang mengharap ehsan, agama yang memerlukan pengorbanan ke atas harta yang dimiliki.

 

Kekayaan adalah alat bagi memudahkan mencapai segala urusan dan pelbagai urusan agama yang memerlukan wang ringgit. Orang miskin berjimat cermat mengumpul wang untuk menunaikan fardhu haji, sepatutnya orang kaya bersegera melakukan ibadah haji kerana alat sudah ada.

 

Jika orang kaya melambat-lambatkan untuk melaksanakan ibadah haji, bererti ada sesuatu yang tidak kena dalam diri orang kaya itu yang perlu diperbetulkan. Begitu juga jika orang kaya tidak menyegerakan membayar hutang. Dikhuatiri kekayaan itu akan musnah sebelum hutang itu terbayar. Apabila papa kedana, bukan sekadar hutang tidak akan terbayar, malah hiduppun akan menjadi sengsara.

 

Oleh itu, jangan abaikan kekayaan itu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya, kerana jika alam semesta inipun boleh kiamat, maka tidak mustahil kekayaan juga akan musnah pada bila-bila masa.

 

 

Oleh Itu :

 

Rebutlah Peluang Di Bulan Ramadhan Ini

Untuk Memanfaatkan Harta Kita Di Jalan Allah SWT Melalui

Pembayaran Yuran PAPISMA Yang Tertunggak…

 

Sebarang Pertanyaan Berkaitan

Jumlah Yuran Tertunggak @ Yang Sewaktu Dengannya :

Sila Hubungi Kak Han Secara Personal

Di klinikummi@yahoo.com

 

Anda Pasti Akan Dilayani Secara Profesional….

 

He,he..(nak mintak duit punya pasal le tu…)

 

Bendahari @ Kak Han



No comments: