Sunday, September 7, 2008

Harta Untuk Menjalin Hubungan Sesama Manusia


(Oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat)


Setiap harta dunia yang dimiliki oleh seseorang pasti akan melalui proses penyiasatan yang rapi di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Siasatan berdasarkan rekod terperinci tersimpan rapi dalam data-data yang disiapkan oleh dua orang malaikat, Kiraman dan Katibin, yang merekodkan setiap amal dan juga harta milik seseorang dengan laporan yang tidak sedikitpun tercicir atau terpadam.

 

Di dunia inipun, kita dapati di pusat-pusat kastam, setiap pemeriksaan terhadap barangan yang dibawa masuk oleh seseorang dilakukan dengan penuh teliti. Bergantung kepada kuantiti barangan, jika banyak tentulah banyak masa yang diperlukan untuk pemeriksaan tersebut.

 

Betapa pula pemeriksaan harta dunia yang dilakukan oleh Allah SWT di akhirat kelak, dilakukan penuh rapi dan terperinci. Bukan sekadar jumlah harta tetapi diselidik bagaimana harta itu diperoleh dan bagaimana pula ia digunakan.

 

Diriwayatkan bahawa Aisyah pernah mendengar bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai seorang hartawan di kalangan sahabat iaitu Abdul Rahman bin Auf, bahawa beliau dijanjikan oleh Rasulullah SAW antara para sahabat yang masuk syurga tetapi dalam keadaan mengengsot.

 

Abdul Rahman bin Auf ketika mendengar khabar itu dapat memahami bahawa yang menjadi punca berlaku keadaan tersebut ialah kerana beliau seorang hartawan yang memiliki harta yang banyak, beliau berhenti lama kerana pemeriksaan terhadap hartanya yang banyak sebagai seorang ahli perniagaan.

 

Menurut beberapa riwayat, antara punca beliau menyerahkan kesemua hartanya sebanyak 100 ekor unta penuh barang dagangan (ada riwayat menyebut 700 ekor unta) kepada Rasulullah SAW kerana bimbang kalau harta itu menjadi halangan untuknya memasuki syurga seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW.

 

Abdul Rahman bin Auf walaupun dalam keadaan mengengsot melalui titian sirat al-Mustaqim, sudah pasti amat beruntung kerana walaupun dalam keadaan demikian, beliau tetap berjaya menempuh ujian besar melalui titian tersebut. Ia disebabkan walau berapa banyak harta yang dimiliki oleh beliau, namun kesemuanya diperoleh dengan cara yang halal dan dibelanjakan dengan cara yang diperkenankan oleh Islam.

 

Bayangkan bagaimanakah risiko tinggi yang akan dihadapi oleh pemburu harta yang menggunakan sistem riba dan sebagainya atau menggunakan kekuasaan bagi mengaut harta negara, mencari harta bukan dengan sistem yang diredhai oleh Allah SWT. Apakah mereka akan mengengsot seperti Abdul Rahman bin Auf? Atau mereka akan menerima nasib malang yang dahsyat apabila gagal melintasi titian sirat al-Mustaqim yang kawah neraka sentiasa menunggu di bawahnya?

 

Tidak seorangpun yang dapat mengelak daripada melalui titian itu di akhirat kelak, seperti yang diriwayatkan bahawa titian itu lebih halus daripada rambut dibelah seribu dan lebih tajam daripada mata pedang. Manusia menyeberangi titian tersebut menurut taraf ketaqwaan masing-masing. Ada yang sepantas kilat, ada yang seperti berlari, ada juga seperti berjalan kaki dan tidak kurang juga ada yang mengengsot atau merangkak. Tetapi yang lebih malang ialah mereka yang gagal dan terjunam ke dalam neraka (semoga mendapat pertolongan Allah SWT agar terlepas daripada malapetaka itu).

 

Firman Allah SWT:

 

"Dan tidak ada seorangpun daripadamu melainkan mendatangi titian sirat. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.

Surah Maryam (19:71)

 

Apa yang perlu difahami ialah Islam tidak menghalang memiliki harta dunia kerana jika demikian tentulah Rasulullah SAW tidak membiarkan para sahabatnya berniaga dan memiliki harta. Sejarah membuktikan bahawa terdirinya Pasar ukkaz tempat para sahabat memperlihatkan kepakaran dalam dunia perniagaan adalah dengan restu Rasulullah SAW sehingga para peniaga Yahudi di Madinah gulung tikar, gagal menyaingi kepakaran para sahabat dalam siasah perniagaan.

 

Memiliki kekayaan harta dunia itu antara naluri manusia yang diizinkan oleh Islam. Tetapi bukan sebagai penghimpun harta kekayaan yang tamak seperti Qarun yang dilaknat oleh Allah SWT atau menjadi kapitalis yang menindas melalui sistem riba. Sebaliknya Islam mengemukakan sistem zakat sebagai suatu peraturan yang menganjurkan manusia jadi pemurah, sekurang-kurangnya dengan mengeluarkan zakat untuk diagihkan kepada lapan ansaf, iaitu kalangan yang berhak menerima zakat, seperti yang dijelaskan oleh al-Qur'an dalam surah al-Taubah, ayat 60.

 

Dengan sistem zakat, manusia tidak menjadi pengumpul harta yang bakhil kerana harta dunia ini diwujudkan oleh Allah SWT adalah untuk dijadikan alat bagi manusia menjalinkan hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.


Sumbangkan Zakat Anda Kepada PAPISMA!

Setiap Sumbangan Zakat Akan Disalurkan

Kepada Asnaf Yang Layak

 

Kaedah Untuk Menyumbang:

 

Bank In Wang Zakat Anda

Ke Akaun Maybank Papisma : 553010108828


Sebarang Sumbangan Derma (Infaq) Atau Pembayaran Yuran

Adalah Juga Menggunakan Kaedah Yang Sama

 

Semoga Kita Tergolong Dalan Golongan HambaNya Yang Diredhai

 

Kak Han@Bendahari



No comments: