Monday, September 8, 2008

Bagaimana Mengingati Allah Semasa Bekerja?

(Dari emel)

Satu tulisan yang menarik dari Dr. Yusof Abbas, seorang pakar motivasi Islam yang menulis dalam blognya di sini. Memang sukar merealisasikan teori mengingati Allah dalam pekerjaan. Tetapi rupa-rupanya, ada kaedah yang sangat mudah untuk kita praktikkan bersama dalam dunia yang cukup sibuk dengan pekerjaan ini. Mudah-mudahan ianya akan menjadikan pekerjaan kita benar-benar sebagai ibadah kepada Allah SWT. Berikut adalah tulisannya:

Ketika sibuk menyemak fail-fail di pejabat, sibuk melayan pelanggan di kedai, sibuk bermuasyarat atau sibuk sedang bersukan, timbul persoalan macamana mahu selalu mengingati Allah ketika waktu sibuk urusan dunia tadi? Bila masa pula mahu berzikir subhanallah, Allah’akbar dan sebagainya ketika leka dengan kerja harian yang silih berganti-ganti. Penulis menjemput anda memberikan jawapannya.

Mungkin ada yang memberi jawapan pantas, bukankah semua kerja-kerja duniawi ini juga ibadah dan berpahala, malah senyum itu pun sedekah!!

Persoalannya bagaimana MAHU SELALU MENGINGATI ALLAH DALAM KERJA HARIAN KITA di luar solat, di luar waktu berdoa , di luar zikir?.

Atau kita memikirkan, adakah begini ideal untuk kita sentiasa mengingati Allah dalam semua perkara, dalam semua keadaan? Kita manusia penuh dengan kelemahan!Selalu leka, panjang angan-angan, bercabang-cabang cita-cita!

Idealkah setelah pelbagai nikmat sudah kita kecapi! Nikmat yang tidak tertulis jika lautan menjadi dakwatnya! Tidakkah itu ideal bagi kita untuk semaksima mengingati Allah dimana saja dan ketika mana. Mudah menulis dan menyebutnya, semudah itukah untuk kita sentiasa mengingati-Nya? Atau adakah kemahiran mudah untuk membiasakan hati disampingNya?

Sebelum ini, penulis ada menulis, displin yang tinggi diperlukan dalam semua pekerjaan termasuk displin untuk mengingati Allah. Penulis sudah lama dipesan oleh alim ulamak supaya displinkan tiga(3) sebutan ini sebelum melakukan setiap perkara walaupun kerja itu mudah atau sebentar. Mudah sangat untuk menyebutnya tetapi amat sukar diamalkan jika tidak berdisplin, iaitu sebutan, bis-mil-lah, betul bukan? 3 sebutan sahaja berbanding kalimah penuhnya bismillahirahmanirahim. Sebut bismillah ketika mahu pegang berus gigi, ketika mandi, ketika pakai baju, ketika memegang stering kereta, ketika mahu sms, ketika buka fail, ketika buka komputer, ketika memasak dan ketika-ketika yang lain. Kalaulah displin ini berjaya diamalkan, agaknya berapa kali kita sudah lafazkan bis-mil-lah ini dalam sehari.

Anda tentu pernah membaca kisah orang yang mengamalkan menyebut nama Allah ini, bagaimana karung guni yang dibawa balik oleh suami yang berisi makanan dari hutan, bila dibuka oleh isteri yang kelihatan ialah ketulan emas! Kisah tukang kapal nabi Nuh, yang menebang pokok-pokok untuk dibuat papan, dia meminta makanan yang banyak dari Nabi Nuh kerana banyak mengunakan tenaga, dengan sekeping roti yang dimakan bermula dengan nama Allah , dia kenyang sehingga ke petang.

InsyaAllah kebiasaan 3 sebutan ini, bis-mil-lah ini akan dibiasakan dengan menyebut sepenuhnya iaitu bismillahhirahmanirahim.

Begitu juga displin yang sukar kita lakukan, untuk berdisplin meletakkan matlamat sebenar kita keluar mencari rezeki, sudah terbiasa hari-hari pergi ofis atau apa jua kerja rutin atau kerja sebagai suri rumah, kita biasa lupa matlamat mencari rezeki ini. Orang yang sentiasa ingat matlamat atau objektif , selalunya terarah pekerjaannya. Anda tentu tahu, kegagalan sesebuah organisasi atau badan koperat sekali pun, bila matlamat mereka sudah tersasar apalagi organisasi kecil atau individu.

Jika jelas matlamat mencari rezeki ini KERANA ALLAH, seperti AKUJANJI dalam doa iftitah, ” sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah”. Inilah kemahiran untuk sentiasa mengingatiNya dalam kerja dunia. Dan tentunya setiap musibah atau kegembiraan itu kita segera kembali merujuk kepada Allah SWT. Mudah...tetapi sukar dilakukan jika tidak berdisplin.

Jika anak-anak kita mahir membaca pelbagai doa sejak dari tadika, dari doa bangun tidur, masuk tandas, doa makan, lepas makan sehinggalah tidur semua, agaknay emak dan bapak kepada anak-anak ini berdoa atau tidak? Mudah, tetapi tidak berdisplin, sukar diistiqamahkan, sedangkan inilah kemahiran untuk selalu Allah di hati kita.

Semoga dengan tulisan ini merangsang penulis sendiri mengamalkan 3 sebutan mudah tadi, bismillah, doa-doa ringkas yang anak kecil kita sudah lama hafal dan selalu lekatkan dalam minda matlamat sebenar pekerjaan, amin.

Begitu juga ungkapan yang biasa disebut malah melatah dengan menyebut Subhanallah, Allahu’akbar, asta’firullah biarlah diucap secara sedar dan kita hayati maknaya, dan jangan pula ungkapan insyaAllah yang basah di bibir tetapi di jadikan alasan untuk mengelak dari menerima tanggung jawab atau pelawaan. Mungkin sebahagian dari kita faham, apabila seseorang bercakap insyaAllah bermakna dia sebenarnya bercakap ’no’.

No comments: