Thursday, August 28, 2008

Perjumpaan Ke-3 Dan Selamat Menyambut Ramadhan 1429H

(Pengerusi)

Selamat bertemu kembali dalam Perjumpaan Bulanan Ke-3 malam ini. Mudah-mudahan semua sahabat-sahabiat dapat meluangkan masa untuk meraikan program dalaman kita ini. Malam ini ada kelainan sedikit berbanding perjumpaan sebelumnya dari segi masa kerana kita bermula selepas solat Maghrib. Kemudian kita akan memulakan perbincangan sehingga waktu Isyak. Muslimin akan solat Isyak di surau bagi memudahkan muslimat solat di tempat program. Pada pukul 9.30 malam, barulah pengisian rohani akan dimulakan oleh Al-Fadhil Ust. Halias Abu Bakar.

Pada kesempatan yang terluang ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Sesungguhnya Allah memberi kurnia yang cukup besar kepada kita apabila Dia memanjangkan usia kita sehingga sempat bertemu Ramadhan yang penuh keberkatan ini, di mana di dalamnya segala amalan digandakan sehingga beratus-ratus kali ganda. Kita telah berdoa sepanjang bulan Sya'aban seperti doa Rasulullah SAW; "Allahumma Bariklanaa fii sya'abaan wa ballighna Ramadhaan" yang bermaksud :Ya Allah Ya Tuhan kami, berkatilah kami pada bulan Syaaban, dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan. Nah, kini insyaAllah Ramadhan akan menjelang tiba dalam 4 hari lagi. Mudah-mudahan kesempatan bertemu Ramadhan ini akan menjadikan kita orang yang beruntung di dunia dan akhirat.

Kita sangat bimbang kedatangan Ramadhan ini tidak menjadikan kita insan yang mendapat keampunan Allah lantaran kesibukan tugas yang akan melalaikan kita sebagaimana peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berapa ramai orang berpuasa, tetapi tidak memperoleh apa-apa kebaikan, kecuali hanyalah lapar dan dahaga.” (HR Nasai dan Ibnu Majah). Marilah kita berusaha sedaya-upaya untuk menjadikan tahun ini lebih baik dari tahun lalu. Korbankanlah sedikit masa dan tenaga demi mengharap keredhaan Allah SWT. Sesungguhnya hanya di dunia yang sementara ini sahaja Allah memberi kesempatan untuk kita berusaha, sedangkan di akhirat nanti tiada lagi pengorbanan yang akan dituntut oleh-Nya.

No comments: