Thursday, August 21, 2008

Mengundi Membabitkan Dosa Dan Pahala - Dato’ Dr. Harun Din

(Dari Emel)

Meskipun hari mengundi dan suasana pilihanraya baru saja berlalu, namun mengundi merupakan proses yang berterusan selagi negara mengamalkan proses demokrasi. Kita juga seringkali dihadapkan dengan pertanyaan-pertanyaan yang tidak mudah untuk dijawab berkaitan hal-hal mengundi ini. Oleh itu, di bawah disertakan soal-jawab ilmu bersama Al-Fadhil Dato' Harun Din untuk kita kongsikan bersama yang dihantar melalui emel oleh Sdr. Zulmd.

Soalan

Memilih atau mengundi mana-mana calon pada pilihanraya adalah salah satu proses demokrasi. Seseorang itu boleh dan bebas memilih sesiapa yang dia suka. Ini adalah perkara dunia yang tidak ada kena mengena dengan dosa dan pahala. Hal sebegini pernah disebut oleh banyak orang terutamanya orang politik. Apakah benar ia tiada kaitan dengan akhirat ? Apakah pandangan Dato’ ?

Ahli Jemaah T
Seri Petaling

Jawapan

Tanggapan sedemikian adalah sesuatu yang dimomokkan sebilangan orang terutamanya mereka yang mengasaskan dasar politik mereka diatas dasar sekular. Tambahan pula media masa di negara kita sememangnya memihak kepada apa yang saudara dakwakan.

Rakyat disajikan terus menerus mengenai gagasan yang memisahkan antara politik dan agama dari penghidupan. Kebetulan di neara kita parti politik yang memperolehi kuasa atas nama demokrasi tidak berteraskan Islam. Malah kadangkala semacam memusuhi politik Islam.

Oleh kerana itu ia mencetuskan persepsi sebagaimana yang saudara sebutkan iaitu menafikan kerja-kerja pilihanraya dengan belanja dan tenaga yang besar, dinafikan ia mendatangkan apa apa pahala.

Islam pada hakikatnya tidak sekali-kali akan terpisah denga penghidupan secara total. Islam itu adalah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Mahu tidak mahu sebagai umat Islam, kita mesti menerima hakikat bahawa Islam itu adalah cara hidup yang lengkap.

Inilah maksud sebenar dari firman Allah ( mafhumNya ):

“…Pada hari ini ( hari Nabi Muhammad mengerjakan haji wada’) , Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu agama kamu ( Islam) dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama kamu…”
(Al-Maidah : 3)

Inilah ayat yang menyimpulkan Islam itu sebagai satu cara hidup. Jika Islam itu terpisah dari politik , bagaimana kita hendak memahami kesempurnaan Islam ?

Rasulullah SAW sendiri menghayati erti kesempurnaan Islam itu dengan baginda sendiri menjadi pemerintah negara dengan melaksanakan semua perintah Allah. Bagaimana mungkin segala perintah Allah boleh dilaksanakan jika kuasa pemerintahan tidak ada di tangan baginda ? Dan bagaimana mungkin umat Islam hari ini hendak melaksanakan perintah-perintah Allah jika kuasa peperintahan tidak berada ditangan orang orang Islam ?

Memerintah negara seperti yang dilakukan oleh Rasullah SAW di Madinah adalah suatu realiti yang wajib diimani bahawa itulah Islam yang sempurna. Islam yang syumul disandarkan kepada kuasa politik untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Sebaik sahaja Rasullah dipanggil pulang oleh Allah SWT (wafat), belumpun sempat disempurnakan jenazah baginda, sahabat besar berkumpul dan berhempas-pulas untuk menyelesaikan masalah besar ummah iaitu mencari pemimpin untuk meneruskan pemerintahan Islam yang ditinggalkan oleh Rasullah SAW.

Para sahabat bermuafakat untuk mencari pengganti . Ini adalah urusan politik yang mesti dibereskan terlebih dahulu. Sahabat berpendapat urusan politik untuk meneruskan pemerintahan demi kepentingan ummah lebih penting dari menyegerakan pengebumian Rasulullah SAW.

Akhirnya mereka memilih Abu Bakar As-Siddiq r.a. sebagai ketua negara memenuhkan kekosongan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Politik Islam asasnya suci murni memegang kuasa untuk memimpin ummah bagi menuju keredhaan Allah. Islam menjadi juara politik di zaman silam. Pemeritahan Islam terus menerus menerajui ummah, seluruh penduduk dalam masyarakat majmuk , silih berganti berada dalam keadaan aman damai sepanjang hayat.

Sehinggalah pada awal kurun ke-20 atau lebih khusus lagi sehinga kejatuhan pemerintahan UthmaniyyahTurki pada tahun 1924, Mustafa Kamal Attarturk mengubah pemerintahan kepada dasar sekular.

Bagi orang yang faham ilmu politik dan memahami hukum Islam tentulah mengetahui kaitannya dengan dosa dan pahala. Dalam amalan kehidupan seharian, Allah memerintah manusia dengan yang makruf untuk diberikan pahala manakala yang melakukan mungkar akan memperolehi dosa.

Membuat kebaikan walaupun membuang seketul batu di jalanan yang menghalang laluan orang ramai nampaknya enteng tidak ada apa-apa, namun jika ia dibuat kerana Allah , ia adalah salah satu dari cabang iman yang akan diberikan pahala yang besar.

Begitu juga menegur dan menasihati orang agar tidak melakukan sesuatu yang tidak baik dan menggalakannya berbuat baik, sudah tentu mendapat pahala yang besar. Inikan pula kerja mengundi dan bekerja dalam pilihanraya dengan tenaga dan wang yang banyak yang merupakan kerja yang sangat besar.

Dengan mengundi kita dapat menukar kerajaan yang melakukan kemungkaran kepada sebuah kerajaan yang baru. Sekiranya yang dijatuhkan itu adalah sebuah kerajaan yang tidak Islam, ditukar kepada kerajaan yang mendaulatkan Islam, bayangkan betapa banyaknya ganjaran yang diperolehi.

Bagaimana hendak dinafikan mengundi tidak ada kena mengena dengan dosa dan pahala sedangkan ianya tidak terkeluar dari “irradatul insan” .

Amal manusia sekecil mana sekalipun akan diberi balasan. Insan yang berniat untuk berbuat sesuatu kebaikan, sudahpun dianugerahkan satu pahala. Melaksanakan niat itu dibalas Allah dengan sepuluh pahala.

Ada hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Umar Al-Khattab (mafhumnya):

“Sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung dengan niat, seseorang itu akan dianugerahkan pahala mengikut niatnya “

Apakah niat saudara ketika mengundi? Adalah tidak masuk akal jika saudara tidak ada niat. Jika niat saudara mengundi seseorang calon bagi mendapat habuan di dunia, saudara akan memperolehi habuan tersebut. Sebaliknya jika saudara berniat untuk mendapat habuan di akhirat, saudara akan mendapat habuannya di akhirat.

Allah berfirman (mafhumnya):

“ Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) faedah di akhirat, Kami akan memberinya tambahan faedah yang dikehendakkinya; dan sesiapa yang menghendaki kebaikan di dunia semata-mata, Kami akan berikannya kebaikan dunia dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak “ (Assyuara:20 )

Ayat ini dan banyak lagi ayat yang seumpama dengannya meletakkan sesuatu gagasan yang nyata bahawa amal amal manusia akan dibalas oleh Allah diatas kebaikan atau keburukkannya.

Allah memerintahkan kita dalam suatu ayat yang mayshur (mafhumnya):

“Dan bertolong-tolonglah kamu dalam perkara menegakkan yang makruf dan janganlah bertolong-tolongan dalam menegakkan kemungkaran “ (Al-Maidah:2)

Menegakkan yang baik akan diberi pahala dan menolong melakukan sesuatu yang jahat akan dibalas dengan dosa. Atas itulah maka apa yang kita lihat dalam hal mengundi dan kerja-kerja pilihanraya adalah suatu pekerjaan yang besar, pasti akan dibalas Allah SWT ganjaran yang setimpal dengan apa yang kita niatkan.

Wallahua'lam.

No comments: