Monday, August 4, 2008

Madu Asli - Hakikat Firman Tuhan

(Kaki Kayu)

"Tak bahaya ke kencing manis dengan madu tu doktor? Kan madu tu manis?"
"Tak mabuk ke makan madu dengan ubat, doktor?"

Itulah pertanyaan yang paling kerap ditanya bila saya mencadangkan madu sebagai 'ubat' alternatif kepada masalah mereka.

Entah kenapa saya cukup yakin dengan madu setelah adanya bukti ujian klinikal yang dibuat oleh Hospital Kota Bharu (kini HRPZ2), pada awal tahun 1990-an dahulu untuk menyembuhkan luka bagi pesakit infection of LSCS wound. Ditambah lagi dengan pengalaman menemui pesakit yang kudis kencing manisnya boleh dirawat dengan menggunakan madu, pengalaman di hospital daerah dan banyak testimoni lain, maka keyakinan saya bertambah kuat.

Memang madu mempunyai healing properties yang cukup hebat. Kajianpun telah banyak dibuat. Semua ini bagi saya hanya membenarkan bukti madu sebagai ubat yang disebutkan Allah dalam Al-Quran (surah An-Nahl : 69) yang bermaksud:

"Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan."

Rasulullah SAW juga menyuruh menggunakan madu sebagai ubat sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:

"Ambillah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur'an."
(HR: Ibnu Majah)

Saya sendiri nak bercerita tentang pengalaman semasa merawat pesakit diabetic wound dengan menggunakan madu. Suatu hari saya telah didatangi oleh seorang pesakit lelaki berusia 60+ tahun. Beliau telah mengidap kencing kira-kira 20 tahun. Beliau datang dengan kaki berkudis sejak kira-kira seminggu yang lalu setelah tercucuk sebatang kayu yang tajam pada tapak kaki kanannya sehingga je bahagian atas (dorsum). Saya dapati kakinya bengkak, merah di sekeliling lukanya di bahagian dorsum dan mengeluarkan nanah yang cukup busuk. Saya ukur kudis itu kira-kira sebesar tapak tangan saya. Saya terus menasihatinya untuk mendapatkan rawatan di hospital memandangkan keadaan kudisnya yang sebegitu. Malangnya beliau enggan. Saya berfikir, bagaimana saya boleh melakukan wound dressing untuk kudis seperti itu? Saya perlu buat open surgery... buka bahagian-bahagian yang bernanah, cuci dengan povidine dan antibiotik. Tapi itu semua tidak mungkin saya lakukan di klinik swasta seperti ini.

Lalu saya teringat pengalaman semasa bertugas di Hospital Daerah Kuala Berang. Di sana saya banyak menggalakkan pesakit merawat luka-luka sederhana dan besar dengan menggunakan madu. Sayapun berbincang dengan pesakit itu untuk merawatnya dengan menggunakan madu. Saya bertawakkal kepada Allah, mudah-mudahan ianya berjaya.

Apa yang saya lakukan ialah, saya minta pakcik itu baring dan saya cuci kudisnya di bahagian dorsum itu menggunakan povidine dan madu, kemudian flushed povidine ke dalam lukanya, diikuti dengan madu menggunakan syringe 3 cc melalui opening di bahagian tapak kakinya hingga madu itu mengalir keluar ke bahagian dorsum. Kemudian saya balut dan meminta isterinya (yang hadir sekali) untuk melakukannya sekali sehari di rumah seperti itu dan memberikan madu itu untuk diminum suaminya satu sudu besar 2 kali sehari. Saya berikan beliau tarikh temujanji (TCA) setiap 3 hari.

Setelah sebulan saya melakukan seperti itu, kudisnya menunjukkan respon yang cujup positif di mana, bahagian tapak kaki telah tertutup dan sembuh, lubang lukanya telah tertutup dan ukuran kudisnya di bahagian dorsum hanya tinggal sebesar ibu jari tangan saya. Semua itu ada tercatat di dalam kad klinik pesakit tersebut. Amat menakjubkan! Tetapi itu semua adalah kekuasaan Allah SWT bagi membuktikan kebenaran Islam.

Meskipun sebagai umat Islam, kita tidak perlu lagi mempersoalkan kehebatan madu ciptaan Allah, namun sebagai profesional perubatan, kita perlu juga tahu apakah bezanya antara madu dan gula sehingga kesan pengamalannya berlawanan dengan kesan pengamalan gula.

Berikut antara maklumat ringkas yang boleh dijadikan sedikit panduan untuk lebih meyakinkan kita tentang beza antara madu dan gula:

1. Gula biasa adalah sukros yang terbina dari dua molekul yang terikat bersama. Apabila kita mengambil gula, perut memerlukan enzim tersendiri untuk memisahkan molekul tadi sebelum tubuh dapat menggunakannya untuk tenaga. Manakala madu telah disertakan enzimnya sendiri oleh Allah SWT (invertase dan diastase) yang akan memecahkan sukros kepada glukos dan fruktos di mana dua jenis gula ini akan diserap oleh badan secara langsung. Oleh sebab itu madu mempunyai Glycemic Index (GI) yang lebih sihat.

2. Gula tidak mengandungi vitamin dan mineral. Sebaliknya gula akan mengambil nutrien dari badan untuk dimetabolismakan. Bila semua nutrien itu digunakan, metabolisma kolesterol dan asid lemak akan terganggu, menyebabkan kandungan kolesterol tinggi dalam badan yang akan menyebabkan obesiti dan banyak lagi gejala penyakit daripadanya. Manakala madu kaya dengan vitamin dan mineral. Inilah yang akan membantu tubuh badan dalam proses penyembuhan yang kompleks.

Jadi, melalui pengalaman itu, saya amat yakin bahawa pengambilan madu sebagai supplement atau adjunctive treatment (rawatan tambahan) untuk beberapa penyakit boleh membantu mereka mempercepatkan penyembuhan atau memudahkan kawalan. Antara penyakit yang saya ingat ialah rawatan luka, kencing manis terutama yang ada komplikasi, gastritis, recurrent fever/infection, skin dryness, allergic rhinitis dan lain-lain (tak ingatlah tu...)

No comments: