Saturday, August 2, 2008

Baitul Muslim : Suatu Cabaran Amal Jama'ie

(Mantan Ketua Unit Baitul Muslim KBI)


Petang ini aku melihat anak-anakku riang bermain. Ada yang bermain basikal, ada yang bermain baling bola dengan jiran sebelah dan ada yang bermain bercucuk tanam. 4 orang semuanya. Campur yang sulung jadi 5 orang. Tapi anak sulungku berada di asrama, meneruskan pengajian dalam bidang Tahfiz dan Sains. Begitulah riangnya mereka apabila ibu dan ayah mereka pulang dari kerja. Meskipun kami begitu sibuk dengan kerja sehingga lewat malam, 6 hari seminggu, namun sedikit masa yang terluang itu kami jadikan ia berkualiti bersama anak-anak. Alhamdulillah anak-anak memahami kerja ibu dan ayah mereka.

Sekali-sekala fikiranku menerawang jauh merentasi masa awal tahun 90-an yang lalu. Ketika itu aku berada di USM Kubang Kerian. Waktu itu Unit Baitul Muslim (UBM) baru saja ditubuhkan di bawah kendalianku. Banyak masalah dan pengalaman baru yang terpaksa ditempuh. Namun dengan tekad ku tempuh jua demi untuk menyelamatkan jamaah dari gejala keciciran setelah berumahtangga. Namun ada satu masalah yang agak rumit untuk diselesaikan ketika itu ialah apabila terdapat kecenderungan untuk memilih pasangan dari kalangan ustaz dan ustazah. Ia satu cabaran kerana jika ini pilihan mereka, maka UBM tidak dapat memainkan peranan yang besar dan kelompok ini terpaksa dikeluarkan dari senarai yang perlu diuruskan oleh UBM. Timbulnya kecenderungan ini adalah kerana kononnya doktor ini adalah orang yang sibuk, dibimbangi kelak pasangan yang kedua-duanya sibuk itu akan menyebabkan anak-anak terbiar. Bila muslimin yang mengambil keputusan seperti ini, maka muslimat kita dalam 'dilema' kerana secara tersiratnya, UBM adalah lebih kepada usaha untuk meyelamatkan muslimat.

Hari ini terbukti bahawa anggapan ini adalah salah. Apabila mereka tahu untuk mengurus dan menggunakan masa dengan sebaiknya, maka tidak timbul isu anak-anak terbiar kerana kerja dan kesibukan. Malah banyak pula kes anak-anak terbiar tanpa perhatian adalah daripada pasangan yang terlalu banyak masa dengan keluarga!

Satu lagi masalah ialah apabila ahli-ahli salah faham tentang tujuan UBM. Mereka menganggap bahawa UBM ini akan menyekat kebebasan mereka untuk memilih pasangan sendiri ataupun mereka dipaksa mengikut pilihan jamaah. Ada yang sampai masam-masam muka apabila perkara ini disentuh dalam tamrin-tamrin tahun akhir atau tamrin-tamrin nuqaba'/qiadi. Ini semua adalah cabaran yang terpaksa dihadapi.

Meskipun kejayaan UBM tidak dapat diukur sebagaimana unit-unit lain, namun peranan UBM dalam memberikan sumbangan terutama dalam mengekalkan aktivis jamaah kampus agar tidak keciciran amat besar. Inilah sebenarnya merupakan benteng yang akhir untuk diberikan penekanan sebelum seseorang mahasiswa itu melangkahkan kaki keluar dari universiti. Tarbiyah dan usaha yang dilakukan di peringkat universiti akan jadi sia-sia jika tenaga-tenaga ini tewas dengan ujian rumahtangga sendiri. Ini jelas terjadi kepada sahabat/iat kita. Meskipun ada juga pasangan yang disatukan melalui UBM 'tewas', namun ia kes yang terpencil. Kesimpulan daripada ini semua menunjukkan bahawa UBM merupakan suatu unit yang cukup penting dalam mencetuskan pembinaan rumahtangga pejuang, keluarga pejuang dan melahirkan generasi pejuang. Jika gagal UBM, maka kelahiran pejuang-pejuang dari pasangan mahasiswa ini akan lembab dan terbantut.

Bagi lebih memahamkan perlaksanaan dan tugas UBM, aku telah menganjurkan banyak pertemuan dengan sahabat dan adik-adik. Abang-abang dan kakak ketika itu memang telah loss touch. Ramai kakak-kakak ketika itu yang berkahwin dengan Tabligh, JIM, malah 'orang biasa'pun ada. Dalam pertemuan dan dialog yang diadakan secara berterusan itu telah melahirkan ramai pasangan pimpinan Papisma pada hari ini.

Apa yang telah kami wujudkan ialah, UBM seolah-olah ahli keluarga sendiri yang dipercayai dalam mendengar dan menyelesaikan masalah. Perkara utama yang dijaga oleh UBM ialah kerahsiaan. Ia seolah-olah badan kaunseling. Apabila berbincang, ahli jadi tidak malu untuk meluahkan perasaan. Adakah dalam keluarga kita ada suasana seperti ini? Jika difikir-fikir, ia lebih terkehadapan dari peranan keluarga sendiri. Apa yang lebih uniknya UBM ini ialah ia tidak duduk diam menunggu kedatangan orang lain, tetapi dalam senyap ia akan mendekati 'mad'u' untuk 'bertanya khabar'. Ahli-ahli tidak memberikan biodata mereka kepada UBM, tetapi UBM memegang biodata-biodata mereka. Bagaimana? UBM dan pimpinan adalah orang yang sentiasa berhubung rapat.

Apabila tempoh pengajian akan tamat, apa agaknya yang difikirkan sekiranya kalian belum berumahtangga? Kerja? Aku percaya kerja jatuh di tempat kedua. Pertama ialah rumahtangga. Cuba bayangkan jika kalian masih belum mempunyai pasangan dan kalian pula adalah seorang muslimah. Aku tak tahu sejauh mana rasa debaran hati kalian. Kalau aku, memang aku rasa berdebar. Sebab apa? Aku tiada pasangan sebab aku sibuk belajar, berusrah dan berjemaah. Bila keluar bekerja nanti, aku seorang doktor yang sibuk dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Kesibukanku bekerja kelak sudah tentu mengurangkan aku untuk berfikir tentang rumahtangga. Kalaupun aku terfikir, siapa yang aku nak cari dan meminta pertolongan? Kalau aku bekerja di tempat yang asing bagaimana? Semua orang aku tak kenal. Aku tak sanggup untuk menjadikan pesakitku sebagai pasanganku. Ia sedikit agak berbeza jika aku adalah lelaki.

Nah... inilah antara dilema yang jarang kita fikirkan. Akhirnya, apabila ada orang masuk meminang, mereka akan terima saja tanpa memikirkan latarbelakang dan kepentingan jemaah pada masa akan datang.

Dengan adanya UBM, banyak database yang ada dalam simpanan unit ini. Database itu tentunya merupakan database jama'ah. InsyaAllah 'emas 10'. Dengan aktivitinya yang sentiasa mencari 'mad'u' itu, kadangkala mad'u tidak perlu mencari UBM. Mad'u akan didatangi oleh UBM. Sekiranya ada lagi mad'u yang tertinggal, selagi mereka berada di dalam jamaah, 'masalah' mereka akan sentiasa diambil perhatian.

Hanyalah harapanku... semoga UBM ini dapat diaktifkan di peringkat universiti lagi dan di peringkat luar seperti sekarang, ia hanyalah sebagai unit standby...

1 comment:

محمد حذوان بن حميدان said...

saya amat bersetuju dgn penubuhan unit ini,pembinaan sesebuah masyarakat perlu bermula sebelum berkahwin lagi,semasa pemiliham calon.. (^_^)