Sunday, July 20, 2008

Wakil Papisma Hadir Program Hari Keluarga Pasti Al-Mawaddah

(Wartawan Bebas)

Kuala Terengganu, 20 Julai - Wakil Papisma Terengganu, Dr. Roslan b. Yusof dan Dr. Zaihan bt. Salleh telah menghadiri Program Hari Heluarga Pasti Al-Mawaddah yang julung-julung kali diadakan oleh Pasti ini. Program setengah hari yang melibatkan keluarga pelajar dan jawatankuasa Pasti itu telah dihadiri oleh lebih dari 200 orang peserta termasuk pelajar-pelajar Pasti Al-Mawaddah dan keluarga mereka. Program tersebut telah dirasmikan penutupannya oleh YBhg. Ust. Wan Sukairi b. Wan Abdullah yang mewakili Pasti Negeri Terengganu.

Program itu telah dimeriahkan lagi dengan berbagai-bagai acara sukaneka yang melibatkan kanak-kanak, remaja, keluarga, lelaki, perempuan dan terbuka. Hadiah-hadiah yang disampaikan pula merangkumi hadiah-hadiah sukaneka, cabutan bertuah, hadiah pertandingan mewarna dan akademik, cenderahati kepada mereka yang berjasa dan hadiah keseluruhan.

Lebih berseri lagi apabila Program Hari Keluarga ini telah dihadiri oleh tenaga pengajar Kuliah Mingguan pagi Sabtu di Pasti itu yang terdiri daripada Ust. Azhar b. Idrus, Ust. Syed Kamil b. Syed Ahmad dan Ust. Najimuddin b. Abd. Rani. Ust. Azhar telah menyampaikan sedikit tazkirah sebelum membacakan doa penutup pada program tersebut.

Beberapa orang peserta yang memberikan komen sangat berpuas hati dengan program yang dianjurkan meskipun terdapat sedikit kekalutan semasa pembahagian hadiah. Mereka mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa terharu kerana Pasti Al-Mawaddah berjaya mengadakan program yang seumpama ini.

1 comment:

Anonymous said...

baguslah ada hari keluarga macam tu. papisma trg pun patut buat tuh. pasti boleh buat takkan papisma tak boleh buat...huhu...