Monday, July 14, 2008

Perutusan Setiausaha Agong Papisma Pusat

(Dr. Awisul Islah b. Ghazali)

Papisma: Meninggikan Suara Islam Melalui Bidang Perubatan

Bismillahirrahmanirrahim

Perubatan dan kesihatan sejak zaman-berzaman merupakan salah satu daripada tuntutan ketamadunan yang penting. Tamadun Rom dan Yunani menyaksikan nama-nama besar dalam bidang perubatan dan kedoktoran. Tokoh gemilang perubatan Yunani seperti Hipocrates terus berada di dalam persada utama aliran perubatan masa kini.

Kehebatan di dalam bidang ilmu perubatan turut menampilkan beberapa mukjizat yang Allah SWT turunkan kepada Nabi-Nya. Masyarakat di zaman Nabi Isa terkenal sebagai antara mereka yang mempunyai kehebatan di dalam bidang ilmu perubatan. Justeru demi untuk menyatakan kebenaran wahyu yang diterima Nabi Isa dan untuk mengangkat kerasulannya, Allah SWT telah menganugerahkan beberapa mukjizat perubatan kepada Nabi Isa Alaihissalam. Antara mukjizat perubatan yang diterima oleh Nabi Isa antaranya ialah menyembuhkan penyakit sopak, menyembuhkan penyakit buta dan mampu menghidupkan orang mati.

Dengan teknologi perubatan yang begitu pesat pada masa ini, berbagai kaedah moden dalam perubatan terus berkembang biak. Mukjizat baru telah tiada lagi kini, tetapi mukjizat Al-Quran yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W terus hidup di dalam jiwa para muslimin dan para mukminin.

Meninggikan syiar dan suara Islam di dalam masyarakat, sama ada peringkat lokal, nasional atau internasional pada zaman ini memerlukan kita umat Islam mendalami kembali mukjizat yang ditinggalkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.. Al-Quran yang turut memuatkan pelbagai ayat mengenai keagungan Allah di dalam bidang sains, perubatan dan kesihatan sepatutnya menjadi kebanggaan dan kajian kita para cendikiawan di dalam bidang perubatan dan kesihatan. Inilah juga yang dilakukan oleh cendikiawan perubatan Islam pada masa silam sehingga mampu membawa cahaya Islam melalui bidang perubatan.

Sewajarnya para doktor Islam dan mereka yang berkecimpung dalam bidang perubatan dan kesihatan mendalami lagi ayat-ayat Al-Quran yang diwahyukan oleh Allah SWT terutamanya yang melibatkan isu-isu perubatan dan kesihatan. Seterusnya merekalah yang sepatutnya menjadi pemudah cara kepada masyarakat seluruhnya.

Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), sebuah organisasi NGO yang khusus mengumpulkan para cendikiawan dalam bidang perubatan dan kesihatan sememangnya mempunyai cita-cita yang besar ke arah itu. Papisma mengharapkan di kalangan ahli-ahlinya adalah mereka yang `rapat’ dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan seterusnya merekalah yang menjadi pemudah cara untuk masyarakat memahami permasalahan-permasalahan dan teknologi-teknologi baru yang ada dalam bidang perubatan dari perspektif Islam.

Kita benar-benar mengharapkan agar suatu hari nanti suara Islam dalam bidang perubatan akan bergema kembali di seluruh dunia dan cendikiawan-cendikiawan Islam yang `rapat’ dengan Al-Quranlah yang menjadi pemangkinnya.

Awisul Islah Ghazali
S/U Papisma 08/10

No comments: