Saturday, July 12, 2008

Perutusan Bendahari Papisma Terengganu

(Siti Nuraini Mohd Samwil)

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, juga ke atas keluarga baginda dan para sahabat serta seluruh kaum Muslimin yang mengikut jejak baginda sehingga ke hari pembalasan. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan kasih sayangNya kita berada di bawah naungan taufik dan hidayahNya.

Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah (42) :

“ Sekiranya (perjuangan Islam itu) keuntungan yang dekat dan perjalanan yang hampir, nescaya ramai di kalangan mereka mengikuti kamu, tetapi perjalanannya jauh dan di atas mereka itu kepayahan”

Dakwah dan perjuangan Islam merupakan tugas berat dan perlu disambung dari satu generasi ke generasi dari zaman ke zaman. Apabila berhadapan dengan masyarakat, pelbagai jenis cabaran terpaksa kita lalui dalam usaha meneruskan perjuangan Rasulullah ini. Selain pergantungan kita kepada Allah SWT dan RasulNya, kebersamaan kita dalam satu jamaah juga merupakan tunjang kekuatan yang dapat mengelakkan kita daripada lalai dan tercicir dari landasan perjuangan. Sehubungan itu, PAPISMA merupakan satu platform untuk menyatukan semula ahli-ahli dalam aliran perubatan dan kesihatan yang telah ditarbiyyah di peringkat kampus untuk sama-sama meneruskan perjuangan di medan masyarakat.

Pembentukan organisasi Papisma Terengganu telah dibuat pada 6 Jun 2008 yang lalu dan ini merupakan titik permulaan yang baik untuk kita sama-sama mengorak langkah lebih jauh bagi meneruskan agenda kita dalam masyarakat.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, Buletin Papisma Terengganu ini berjaya diterbitkan. Semoga dengan terbitnya Buletin Papisma Terengganu ini, akan menjadi satu wadah untuk menyampaikan maklumat-maklumat serta aktiviti terkini, maningkatkan pengetahuan melalui artikel-artikel yang ditulis dan juga menjadi medan percambahan idea bagi ahli-ahli Papisma di Terengganu.

Akhir kata, 'Selamat Datang' diucapkan kepada ahli-ahli baru Papisma Terengganu. Semoga dengan pertambahan ahli baru ini akan memeriahkan lagi keluarga kita dan segala aktiviti yang dirancang dapat berjalan lancar, Insya Allah.

No comments: